Sesuai dengan keperluan untuk mengakat martabat
wanita pada kedudukan lebih tinggi, Islam turut mewajibkan wanita agar menutup
ilmu. Ia jelas membuktikan pemilikan ilmu yang tinggi diperlukan di kalangan
setiap Muslim tanpa membezakan jantina.
Hadis diriwayat Ibnu Majah bermaksud: “Menuntut
ilmu itu wajib bagi setiap lelaki dan perempuan.”
Ilmu dan kebijaksanaan adalah kuasa yang
memberi kebaikan kepada semua. Justeru, sesiapa juga, tidak kira lelaki
atau wanita yang berilmu hendaklah dijadikan rujukan atau pemimpin dalam bidang
berkenaan.
Rasulullah menyedari tahap keilmuan isterinya Aisyah
yang banyak mempelajari dan memerhati perbuatan Rasulullah berkaitan hukum
agama dan adab-adab sebagai seorang Islam. Oleh itu, Rasulullah membenarkan
para sahabat menerima atau mempelajari sesuatu daripada Aisyah.
Wanita juga pernah menyertai peperangan
bersama-sama Rasulullah yang bertugas sebagai jururawat sesuai dengan kemampuan
fizikal, kemahiran dan pengalaman dalam melaksanakan tugas-tugas itu.
Di negara kita, sumbangan wanita kepada
kemajuan negara amat ketara. Wanita turut berganding bahu meniup semangat
ketika menuntut kemerdekaan. Beberapa tokoh politik wanita turut mewarnai
kepimpinan negara sejak negara mula merdeka.
Kini, wanita di negara kita semakin ke hadapan
memainkan peranan semakin kompleks mengisi kemajuan negara. Mereka seiring
dengan lelaki menyahut cabaran negara. Dengan kata lain, wanita bukan sekadar
pembantu, bahkan menjadi peneraju dalam banyak bidang kerjaya.
Wanita Islam Malaysia semakin ramai menonjol
mencapai pengiktirafan yang tinggi. Mereka dilantik menjadi menteri, gabenor
Bank Negara, ketua pengarah Agensi Angkasa Kebangsaan, ketua hakim negara,
ketua setiausaha kementerian, naib canselor universiti, hakim mahkamah tinggi,
serta banyak lagi jawatan penting kerajaan.
Peluang pekerjaan untuk wanita terbuka luas
hasil pencapaian pendidikan yang baik. Wanita mampu berbangga kerana
telah mampu keluar daripada kepompong kolot masyarakat dahulu yang menganggap
wanita hanya sesuai berada di dapur. Wanita moden berlumba-lumba mencari
rezeki dan tidak hanya berguntung kepada lelaki.
Sesuatu yang amat membanggakan kaum wanita,
kira-kira 40 peratus guna tenaga di negara kita disumbangkan oleh wanita.
Hakikat sumbangan penting wanita kepada kemajuan negara tidak mampu
disembunyikan. Wanita bukan saja menyumbang dalam kuantiti, tetapi juga
kualiti.
Justeru, kerajaan memberi jaminan untuk terus
menambah bilangan wanita memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Matlamat kini,
wanita disarankan untuk merebut peluang mengisi 30 peratus jawatan penting
sebagai penggubal dasar dan penentu keputusan dalam kerajaan.
Namun, dalam keghairahan untuk mencapai
kejayaan, wanita tidak seharusnya meninggalkan fitrahnya. Wanita tetap
wanita yang menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Sebesar mana jawatan
yang disandang, wanita tetap perlu mentaati suami. Malah kejayaan seorang
wanita adalah disokong oleh lelaki bergelar suami.
Juga, usaha mengejar impian tidak harus
dijadikan alasan wanita tidak mahu berumahtangga. Hal demikian sebenarnya
cuba mengubah fitrah manusia.
Rasulullah amat tidak menyukai kepada umatnya
yang tidak mahu berkahwin. Rasulullah menjelaskan bahawa sesiapa yang tidak
mahu berkahwin, maka orang itu adalah bukan di kalangan umat baginda.
Justeru, wanita sepatutnya merebut peluang yang
ada, tetapi bukan mengubah apa yang sepatutnya dilakukan sebagai seorang
wanita.
Gambar: Pantai Nusuk, Kampung Tanjung Kuala Sabak. Sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment