Tuesday, 29 December 2020

ANAI-ANAI MEMBINA PUSU SEBAGAI TEMPAT TINGGAL

Dalam dialek Kelantan, perkataan ‘pusu’ adalah merujuk kepada busut. Sebab itu, sarang anai-anai yang membusut atau berlonggok di atas tanah dipanggil pusu. Anai-anai bersarang di dalam pusu membentuk koloni anai-anai yang ada raja dan permaisuri serta anai-anai pekerja. 
 
Ada pepatah, ‘berak atas pusu’ yang membawa maksud perbuatan individu atau kumpulan yang mengaku melakukan sesuatu perkara kebaikan yang besar, sedangkan sebenarnya ada pihak lain lebih banyak melakukan perkara kebaikan tersebut. 
 
Pusu ada jantan dan betina, tetapi bukan pasangan untuk melahirkan anak. Jenis pusu jantan atau pusu betina adalah merujuk kepada bentuk pusu berkenaan. Pusu betina bentuknya agak besar dan bulat bentuknya. Manakala pusu jantan pula bentuknya lancip iaitu tirus di bahagian atas. 
 
Sebagai serangga sosial yang hidup secara berorganisasi, setiap individu memainkan peranan yang besar bagi memastikan pusu dalam keadaan baik dan penghuni di dalamnya selamat. 
 
Apabila pencerobohan yang mengakibatkan kerosakan pada pusu seperti keretakan mahupun lubang pada pusu berlaku, anai-anai akan mengetukkan kepalanya pada dinding pusu sebagai penggera kecemasan kepada penghuni lain. 
 
Apabila kecemasan berlaku, larva anai-anai akan dipindahkan ke bahagian yang lebih selamat manakala jalan masuk di mana raja dan ratu tinggal akan disekat dengan membina benteng untuk menutupi laluan masuk tersebut. 
 
Kemudian, kawasan kerosakan akan dikepong oleh askar anai-anai, dan pekerja anai-anai akan mengangkut bahan-bahan untuk membaiki kerosakan pusu. 
 
Apabila kerja pembaikan pulih selesai, anai-anai akan berkelakuan dan bertindak seperti kebiasaan. 
 
Sebenarnya apa yang berlaku itu dapat kita lihat apabila setiap kali kita meruntuhkan pusu, maka akan ‘tumbuh’ pusu baharu di tapat berkenaan. 
 
Sebab itu, untuk memusnahkan anai-anai perlu dilakukan pembongkaran keseluruhan merosakkan tempat tinggal mereka, terutama mencari ratu dan raja yang melahirkan koloni anai-anai itu.

No comments:

Post a Comment