Melancong bermaksud melawat dan
melihat tempat lain. Melancong tidak semestikan melawat tempat di luar negara
saja. Melawat atau ziarah sanak saudara di dalam negara juga termasuk dalam
erti melancong.
Sebenarnya aktiviti melancong bukan
perkara baru yang dicipta dan diamalkan oleh masyarakat Barat seperti yang
dianggap sesetengah pihak memandangkan ia menjadi satu budaya mereka.
Islam sebenarnya telah lama
memperkatakan tentang aktiviti melancong dan menggalakkan agar umat Islam
melakukan aktiviti itu untuk mendapat banyak kebaikan daripadanya. Dalam
al-Quran terdapat kalimah seperti sihu, yasiru, siru dan al-rihlah yang
mempunyai maksud berkaitan dengan mengembara dan melancong.
Islam menggalakkan melancong bukan
sekadar mengunjungi sesuatu tempat dan bergembira, sebaliknya apa yang lebih
penting ialah meneroka dan memperoleh kebaikan setiap perkara yang dilakukan.
Setiap destinasi pelancongan mempunyai tarikan tersendiri yang menuntut agar
kita berfikir tentang kekuasaan Allah menjadikan muka bumi ini dengan pelbagai
perbezaan dan mempunyai kelebihan masing-masing untuk dimanfaatkan oleh manusia.
Antara manfaat yang diperoleh
melalui kegiatan melancong jika dilakukan berdasarkan apa yang disarankan oleh
agama ialah dapat memberi kekuatan jati diri dari segi ketakwaan, ketenangan
jiwa, pengalaman, kesejahteraan, memulihkan semangat, penghayatan alam dan
hubungan sosial.
Sesungguhnya melancong boleh
dijadikan sebagai cara pengukuhan iman dan takwa yang mana banyak pengajaran
berkaitan perkara baik dan buruk yang dapat dilalui atau diperhatian semasa
melancong. Islam mementingkan elemen mendengar, melihat dan berfikir dalam
mencari kebenaran kerana setiap ciptaan Allah tidak sia-sia melainkan untuk
manfaat manusia dan membuktikan kekuasaannya.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang
dapat memikirkan atau telinga yang dapat digunakan untuk mendengar? Kerana
sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam
dada.” (Surah al-Hajj, ayat 46)
Jelas sekali tujuan melancong yang
dianjurkan Islam ialah supaya digerakkan mata hati untuk menilai, memahami dan
mengambil pengajaran sepanjang pengembaraan. Justeru, walaupun melancong lebih
bersifat santai, tetapi tidaklah sampai tidak memikirkan apa-apa. Dalam
bersantai, minda masih perlu digerakkan secara positif supaya mendapat kebaikan
ketika melancong.
Minda pengembara hendaklah dibuka
dan berdoa agar Allah memberi hidayah dan kebaikan daripada aktiviti melancong
itu. Mereka mengumpul pengalaman dan pengamatan sepanjang mengembara untuk
dijadikan sesuatu yang berharga apabila pulang ke tempat asal.
Melancong bukan sekadar ingin
berhibur dan melakukan sesuatu yang memenuhi hawa nafsu. Sesiapa melancong
hanya semata-mata itu tujuan itu, tidak akan mendapat manfaat di sebalik
suruhan agama. Bahkan, keriangan yang diiringi dengan perbuatan maksiat
menjadikan aktiviti melancong sedemikian haram dan amat dimurkai Allah.
Ketika melancong hendaklah menjaga
nilai-nilai murni sebagai orang Islam. Elakkan diri daripada terjebak dengan
aktiviti tidak baik di tempat orang yang sekali gus akan melambangkan sikap
yang sama di negara sendiri. Aktiviti pelancongan yang melibatkan perbuatan
haram ditegah sama sekali. Kecelakaan dan kemusnahan menimpa diri mereka yang
ingkar perintah Allah.
Firman Allah bermaksud: “Ditimpakan
kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan
dengan Allah dan hubungan dengan manusia.” - (Surah Ali Imran, ayat 112)
Malang sekali ada individu melancong
memilih tempat maksiat seperti pusat perjudian, syurga seks, pusat hiburan dan
sebagainya yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Mereka memilih tempat
itu di luar negara disebabkan ia diharamkan di negara kita. Golongan itu
menjadikan wang ringgit untuk menambahkan dosa dan bukannya mencari keredaan
Allah.
Ketika melancong, sudah tentu apa
yang dilihat dan dialami tidak sama seperti di tempat kita. Allah Maha berkuasa
menjadikan seluruh dunia itu tidak sama dari segi bentuk muka bumi, iklim,
tumbuh-tumbuhan, hidupan dan kehidupan masyarakatnya.
Apa yang berlaku di negara luar ada
yang langsung tidak berlaku di negara kita seperti berlakunya musim salji,
bunga, luruh dan panas. Ia berkaitan dengan musim pengedaran bumi mengelilingi
mata hari dalam tempoh masa setahun.
Bahagian tertentu bumi, ada masa siangnya berbulan-bulan lamanya dan
pada masa lain pula malamnya berlangsung berbulan-bulan.
Semua ini menuntut kita agar
berfikir dan dijadikan satu cara untuk muhasabah diri apakah selama ini kita
menghargai setiap cipaan Allah. Seluruh ciptaan Allah amat sempurna dan cantik
yang menyenangkan fikiran dan perasaan jika dilihat dari sudut keimanan.
No comments:
Post a Comment