Islam sentiasa menggalakkan umatnya
sentiasa berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki diri dalam segala hal. Justeru
itu kita jangan hanya berserah kepada nasib semata-mata. Untuk berjaya kita
perlu berusaha memerdekakan diri daripada sifat negatif.
Pertamanya, setiap apa yang
dilakukan itu hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Keikhlasan adalah
intipati kepada kesempurnaan apa yang dilakukan. Allah SWT hanya menerima
amalan yang dilakukan dengan ikhlas.
Akidah adalah perkara pokok yang
menentukan untuk mendapat nikmat kemerdekaan diri. Sesiapa masih tersimpan
dalam hati percaya kepada selain daripada Allah SWT, dirinya telah melakukan
syirik. Justeru, setiap individu wajib membersihkan diri daripada kurafat,
tahayul, sihir, hantu dan kuasa ghaib yang dijadikan sebahagian perkara
dipercayai kebolehannya.
Kita juga mesti mengawal dan tidak
menjadi hamba nafsu. Sesiapa bertuhankan nafsu tidak pernah merasa nikmat
kehidupan sebenarnya. Apa yang dilakukan dan dilalui hanya kepura-puraan. Nilai
kekayaan, kedudukan dan kegembiraan yang dikuasai hawa nafsu tidak membawa kepada
kepuasaan sebenarnya.
Untuk mengecapi kemerdekaan diri,
perlulah dilakukan usaha menundukkan nafsu. Dengan demikian juga akan
memperoleh ganjaran syurga di akhirat.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Sesiapa yang mampu menundukkan nafsunya, maka syurgalah tempatnya. Sebaliknya,
sesiapa yang menuruti hawa nafsunya, maka nerakalah tempat kembalinya.” (Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim).
Kita juga mesti menjauhi sikap buruk seperti malas, selalu bertangguh,
tidak menunai janji, mensia-siakan masa, melakukan perbuatan membahayakan diri
dan membazir.
Untuk mendapat kemerdekaan daripada
sifat-sifat buruk itu, perlulah dimulai dengan tekad dalam hati. Sama seperti
taubat, perlulah wujud penyesalan di atas apa dilakukan selama ini. Kemudiannya
hendaklah mempunyai kesungguhan untuk meninggalkan sifat buruk itu.
Setiap orang perlu memperbanyakkan taubat. Allah Maha Pengampun dan
memahami sifat manusia yang tidak lekang daripada melakukan kesalahan dan dosa.
Allah SWT sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-Nya yang menyedari telah
melakukan dosa.
Taubat yang dilakukan biarpun tidak
melakukan dosa menjadi perisai diri daripada melakukan perbuatan dosa. Sesiapa
menjauhkan diri daripada dosa, dirinya beroleh nikmat kehidupan. Dia tidak
dibebani dengan rasa takut dikenakan balasan di dunia dan akhirat.
Orang melakukan kesalahan tidak
merasa tenang daripada perasaan bersalah. Dirinya seperti berada dalam penjara
kesalahan yang dicipta sendiri. Diri mereka tidak merasai kemerdekaan
sepenuhnya.
Perkara terakhir bagi mencapai
kemerdekaan diri ialah sentiasa berfikir secara positif. Jadikan amalan berfikiran positif sebagai
peneraju kejayaan. Diri yang sentiasa patuh kepada tuntutan syariat sentiasa
memikirkan perkara kebaikan.
Berfikir perkara yang baik dan
mempunyai keyakinan boleh melakukan apa yang ingin dilakukan, meletakkan diri pada mercu
kejayaan. Apa yang dilakukan berdasarkan fikiran positif dapat membantu menggerakkan daya
minda, emosi dan fizikal ke arah perlaksanaan yang terbaik.
Hidup ini memerlukan perubahan ke
arah lebih baik dalam semua keadaan. Kualiti kehidupan, baik yang berkaitan
kehidupan di dunia maupun di akhirat, perlu ditingkatkan setiap masa. Sikap
mudah berpuas hati dan tidak mahu berusaha lagi perlu dibuang jauh-jauh.
Tuntutan memperbaiki diri meliputi
semua perubahan atau pertukaran daripada yang buruk kepada baik, dan daripada
baik kepada lebih baik lagi. Kehidupan ini tidak sepatutnya dibiarkan statik
biarpun telah berada di tahap yang baik.
Kehidupan perlu dihiasi iltizam agar
sentiasa mampu melakukan kebaikan dan menjauhkan perkara buruk. Dengan demikian
dapat meletakkan diri kita sebagai individu yang benar-benar merdeka.
No comments:
Post a Comment