Banyak pihak bertungkus lumus untuk
memeriahkan malam ambang ulang tahun kemerdekaan negara. Detik 12 malam menjadi
kemuncak acara sambutan untuk mengingat kembali peristiwa ketika bendera Union
Jack diturunkan untuk kali terakhir dan kali pertama bendera negara
dinaikkan.
Malang sekali, sambutan yang penuh
bermakna itu seringkali dicemari dengan budaya berhibur yang tidak kenal
batasan agama dan adat, terutama melibat golongan muda mudi yang mengambil
peluang untuk bergembira sakan.
Satu perkara yang turut mencerminkan
sikap buruk ialah perbuatan tidak menjaga kebersihan. Setiap kali selepas
sambutan, kawasan menjadi seperti bekas tapak pasar malam. Kawasan dipenuhi
dengan botol dan tin minuman, plastik makanan ringan, tisu, plastik dan kertas.
Perbuatan membuang sampah
merata-rata melambangkan sikap negatif. Sikap ini bertentangan dengan semangat
kemerdekaan yang bertujuan menanam sikap positif dalam kehidupan.
Satu lagi amalan buruk dilakukan
pada sambutan ulangtahun kemerdekaan ialah ‘mat-mat motor’ dan pemandu
kenderaan lain yang menjadikan malam sambutan masa untuk berpesta di jalan
raya.
Mereka membawa Jalur Gemilang,
tetapi tidak mencerminkan sebagai warga yang menghormatinya. Mengibarkan Jalur
Gemilang sekadar alat untuk bersuka ria di jalan raya dan mempamerkan aksi
‘maut’. Sekiranya benar-benar menghayati kemerdekaan, sudah pasti mereka tidak
melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.
Berdasarkan kepada pengalaman
tahun-tahun lepas, amatlah wajar pihak berkuasa lebih tegas mengawal acara
sambutan kemerdekaan tahun ini supaya tidak melibatkan perkara tidak baik.
Sambutan ulang tahun kemerdekaan
diadakan untuk menanam dan memugarkan semangat positif di dalam diri. Jadi,
jika perkara negatif yang dilakukan, itu sudah lari daripada matlamat asal
sambutan.
Tindakan menghalang amalan buruk
amat penting bagi mengelak daripada menular budaya negatif di kalangan rakyat. Kejatuhan moral remaja merupakan titik permulaan kepada kejatuhan tamadun
sesuatu bangsa.
Tidak ada faedahnya menyertai
sambutan kemerdekaan jika minda dan tingkah laku masih tidak merdeka daripada
sifat-sifat buruk.
Orang yang dalam dirinya masih
mempunyai sifat buruk, tidak layak melaungkan ‘merdeka’ memandangkan diri
sendiri masih dijajah.
Acara tambahan yang patut diutamakan
dalam senarai acara sambutan kemerdekaan ialah majlis kesyukuran, solat hajat,
tahili, bacaan doa dan ceramah agama yang berkaitan dengan semangat cintakan
negara.
No comments:
Post a Comment