Sebuah
negara merdeka tidak semestinya bebas sepenuhnya. Banyak negara merdeka tiap
masih dijajah oleh negara lain dalam pelbagai bentuk seperti ekonomi, dasar
luar, pertahanan dan sosial. Malah ada negara yang merdeka, tetapi kerajaan
yang dibentuk menjadi boneka kepada negara lain. Banyak negara kuasa besar
mengamalkan dasar imperialis moden menguasai negara kecil, mundur dan kacau
bilau.
Inilah
pentingnya rakyat negara kita tidak leka dengan nikmat kemerdekaan. Banyak
negara kuasa besar cuba mengamalkan dasar imperialis terhadap negara, namun
usaha itu gagal. Kita mampu menghadapi masalah yang timbul termasuklah
kegawatan ekonomi, ancaman pengganas dan politik dalaman.
Dalam
tempoh masa yang singkat, kita telah mampu membina sebuah negara yang dianggap
matang sebelum tempohnya. Keupayaan negara memacu ekonomi, pembangunan sosial
dan fizikal dikagumi masyarakat seluruh dunia.
Resipi
kejayaan negara dibina dari semangat kebangkitan bangsa yang pernah dijajah
lebih daripada 446 tahun. Kebijaksaan
para pemimpin negara terdahulu telah membina asas perpaduan dan kejayaan yang
kukuh di kalangan rakyat. Perkongsian
kuasa semua kaum meletakkan negara dalam keadaan aman dan maju.
Dalam
kita merasa bangga dengan kejayaan yang dicapai, kita tidak boleh lalai dari
segi aspek keselamatan. Keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terancam.
Definisi ancaman bukan hanya dari aspek ketenteraan, tetapi termasuk juga
serangan ekonomi, sosial dan propaganda. Ancaman itu mungkin dari dalam negara
dan luar negara.
Ancaman
dari dalam negara berbentuk fahaman ekstrem, gejala sosial, ajaran sesat,
masalah politik, jenayah, rasuah dan ekonomi. Kita perlu berhati-hati dengan
ancaman ini kerana ia boleh menghancurkan negara jika tidak dibendung.
Sebab
itu kita jangan pandang mudah terhadap ancaman ini. Ancaman dalaman diumpamakan
seperti barah yang merosakkan seluruh sistem badan sehingga tidak mampu lagi
berfungsi.
Justeru,
negara memerlukan rakyat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi untuk
menghadapi segala ancaman negara. Negara akan hancur dan kembali dijajah jika
tanpa rakyat yang sanggup berkorban untuk menjaganya. Kekuatan negara bergantung kepada kesetiaan
rakyat.
Patriotisme
bermaksud perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Patriotisme lahir dari
seorang bergelar patriot atau pejuang. Seorang patriot melakukan jihad, satu
semangat bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan. Petriotisme juga
dimaksudkan dengan jati diri yang tidak berubah kesetiaan kepada negara hanya
disebabkan sesuatu pengaruh.
Situasi
semasa negara memperlihatkan keadaan aman daripada ancaman peperangan
bersenjata dari negara luar. Malaysia berada di lokasi zon aman, bebas dan
berkecuali yang diperakui oleh negara-negara jiran dan seluruh kuasa besar
dunia.
Pun,
negara tidak leka dan sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan
konflik melibatkan penggunaan senjata. Angkatan tentera kita memiliki
persenjataan yang canggih dan anggota yang terlatih.
Namun,
apa yang jelas, kita sentiasa diancam dengan propaganda dan niat jahat pihak
tertentu. Serangan dalam bentuk media sering dilakukan terutamanya kepada
pemimpin dan dasar-dasar negara. Tindakan tersebut sentiasa dilakukan dengan
agenda tersembunyi di sebalik kebebasan akhbar.
Rencana
dan berita berbentuk serangan propaganda dan provokasi memberi satu impak bukan
sahaja kepada individu, bahkan kepada kepentingan negara. Justeru, sebarang
tindakan sedemikian perlu dipintas agar tidak mempengaruhi khalyak ramai.
Semangat
patriotisme penting disuburkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang
agenda jahat pihak ingin melihat negara dalam keadaan tidak stabil. Diharapkan
rakyat tidak mudah terpengaruh dengan sebarang dakyah yang disebarkan.
Kekuatan
negara terancam dengan sesuatu berita palsu dan direka-reka. Rakyat menjadi
hilang keyakinan kepada pemimpin dan seterusnya mencetuskan andaian yang
membawa kepada terhakisnya kekuatan negara.
Tanpa
sokongan padu rakyat terhadap pemimpin, maka mudahlah segala anasir luar
melakukan sebarang niat buruk. Malah, individu dalam negara yang ingin
mengambil kesempatan daripada situasi tersebut akan mendapat pertolongan dari
luar untuk menjatuhkan kerajaan. Sebab itu pentingnya kesetiaan terhadap negara
amat penting dipegang oleh setiap rakyat.
Rakyat
sepatutnya menjadi pejuang dan bukannya pembelot yang sanggup melakukan
tindakan menjatuhkan pemerintah. Pembelot melakukan tindakan paling keji dan
perlu dikenakan hukuman berat.
Generasi
sekarang perlu mencontohi semangat patriotisme generasi terdahulu yang berjuang
bersungguh-sungguh demi mencapai kemerdekaan negara. Jasa dan pengorbanan
pejuang terdahulu amat besar nilainya. Tanpa pengorbanan mereka, sudah tentu
kita tidak dapat menikmati apa yang ada sekarang.
Biarpun,
negara mencapai kemerdekaan melalui perundingan, hakikatnya tidak sedikit
pejuang yang telah terkorban dalam merintis usaha awal ke arah rundingan
kemerdekaan. Malah, ramai menjadi korban angkara pengganas komunis. Negara kita
satu-satunya negara yang berjaya mengekang dan menghapuskan tindakan bersenjata
komunis. Ia adalah hasil kerjasama seluruh rakyat yang cintakan keamanan.
Kita
memerlukan satu gagasan semangat patriotisme yang kuat dan kental seluruh
rakyat. Setiap rakyat perlu memahami inspirasi, wawasan dan matlamat yang
digariskan oleh kerajaan. Sekiranya pemimpin dan rakyat tidak sehaluan, maka
sukarlah untuk melaksanakan apa yang dirancangkan.
Kita
layak berbangga dengan ketegasan pemimpin negara menghadapi tekanan dan
provokasi negara asing. Negara tidak tunduk kepada kehendak dan ancaman kuasa
besar kerana yakin kepada kebenaran tindakan yang dilakukan.
Seluruh
rakyat wajib berjuang bersama-sama pemimpin. Taat kepada pemimpin merupakan
satu tuntutan agama yang wajib dilaskanakan. Sesiapa ingkar dan sengaja belot
kepada pemimpin dan negara, maka dianggap belum sempurna imannya.
Ketaatan
kepada pemimpin wajib dilaksanakan walaupun tidak menyukainya, selagi mana
pemimpin tidak menyuruh melakukan perbuatan yang nyata bertentangan dengan
perintah Allah dan Rasul. Perbezaan fahaman politik tidak boleh dijadikan asas
untuk menentang mana-mana pemimpin negara.
Seluruh
warganegara perlu berikrar untuk berdiri teguh mempertahankan negara dari
segala bentuk ancaman yang mendatangkan mudarat kepada negara. Mempertahankan
negara merupakan satu jihad.
No comments:
Post a Comment