Saturday, 28 July 2018

MEMPERTAHANKAN KEMERDEKAAN TANGGUNGJAWAB SEMUA

Sebagai rakyak kita perlu bersyukur dapat tinggal dalam sebuah negara yang merdeka dalam keadaan aman, sejahtera dan maju seperti Malaysia. Banyak negara lain yang berada dalam keadaan huru hara, masalah sosial yang tenat dan keadaan ekonomi yang teruk.   

Kemerdekaan adalah rahmat kepada penduduk di sebuah negara. Setiap rakyat perlu sensitif dan bersedia untuk mempertahankan kemerdekaan dengan bersungguh-sungguh. Banyak negara yang merdeka terpaksa tunduk kepada kehendak negara lain disebabkan kedudukan pentadbiran negara rapuh dan semangat petrotisme rakyat yang rendah.

Dari Abu Said Al Khudri katanya Rasulullah SAW bersabda: "Apabila diangkat seorang pemimpin (sehingga terdapat dua pemimpin), maka bunuhlah yang terakhir." (Hadis riwayat Muslim).

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan musuh maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapi dan sebutlah serta ingatlah Allah SWT dengan banyakkan berdoa, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.” (Surah Al-Anfaal, ayat 45).

Nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara sekarang bukan satu jaminan akan terus dinikmati selama-lamanya. Jika rakyat leka tidak mempertahankan dan menyayangi negara, mungkin pada masa depan negara kita akan kembali dijajah.

Banyak anasir berniat buruk terhadap negara ingin merosakkan keamanan, kemajuan dan kejayaan yang dicapai sekarang.   

Terdapat banyak negara merdeka hanya pada nama, tetapi hakikatnya masih dijajah secara sekatan kebebasan pentadbiran dan perlu bergantung kepada negara asing. Mereka terpaksa bergantung bantuan kekuatan tentera dan ekonomi daripada negara yang lebih besar, terutamanya negara Barat.

Jika negara masih memerlukan bantuan dan mengikut apa yang dikehendaki pihak lain, itu boleh dikira samalah dengan keadaan masih dijajah.   

Sesungguhnya mengisi dan mengekalkan kemerdekaan sebenarnya lebih rumit berbanding mendapatkan kemerdekaan. Tugas mengisi dan mengekalkan kemerdekaan melibatkan semua aspek kenegaraan, ekonomi dan kekuatan pertahanan. 

Untuk mendapat kemerdekaan rakyat hanya perlu berusaha sekali saja dalam tempoh masa tertentu, tetapi untuk mengisi kemerdekaan perlu berusaha sepanjang masa atau selama-lamanya.

Negara terpaksa berdepan dengan pelbagai ancaman sama ada berbentuk langsung dan tidak langsung seperti serangan ekonomi, masalah sosial dan perselisihan politik dalaman yang memerlukan kesungguhan dan kesetiaan rakyat untuk mengatasinya.   

Untuk mempertahankan kemerdekaan negara, rakyat perlu sentiasa melakukan perbuatan sepertimana yang dikehendaki negara dan masyarakat seluruhnya. Amalan yang bertentangan dengan inspirasi negara adalah perbuatan yang membawa kepada keruntuhan negara dan seterusnya mendedahkan negara kembali dijajah oleh negara yang lebih berkuasa.

Individu yang terlibat rasuah, malas berusaha, menentang dasar kerajaan dan melakukan perbuatan yang merugikan negara dan bangsa adalah pengkhianat negara.

Setiap rakyat perlu diterapkan semangat patriotisme yang kental di dalam diri dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang anasir yang merosakkan negara. Rakyat yang baik sentiasa menyokong dan melakukan perkara baik sepertimana yang dikehendaki oleh kerajaan.

Pihak atau individu yang mementingkan diri tidak akan kisah kesan buruk yang dilakukan, asalkan matlamat peribadi tercapai. Sebab itu, ada individu yang sanggup berkerjasama dengan pihak luar untuk merosakkan negara. Perbuatan itu mesti dikutuk dan jangan beri peluang individu yang bersikap demikian mendapat tempat dalam negara kita.

No comments:

Post a Comment