Saturday, 28 July 2018

MEMERIAHKAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN


Sempena sambutan bulan kemerdekaan, banyak acara diadakan yang disertai segenap lapisan masyarakat. Seluruh warganegara berkobar-kobar menjayakan setiap acara sambutan. Sambutan bulan kemerdekaan dirayakan meriah di seluruh pelusok negara, termasuk di desa dan kampung. Kemuncak sambutan kemerdekaan pada detik 12 malam 31 Ogos dan berlanjutan sehingga ke pagi dengan acara perbarisan dan perarakan.

Sambutan acara kemerdekaan diadakan bagi mengingati kembali detik kemerdekaan. Sejarah lampau dijadikan sebagai pengajar kepada generasi baru betapa sukarnya memperoleh kemerdekaan. Hasil kemerdekaan dapat dinikmati seluruh rakyat pada hari ini. 

Kemerdekaan memberi peluang setiap rakyat menyumbangkan fikiran, tenaga dan pengorbanan untuk kebaikan semua. Sambutan kemerdekaan memberi peluang untuk menilai atau muhasabah diri apakah sumbangan yang telah diberikan kepada negara.   

Penghayatan kemerdekaan penting bagi menilai kemampuan diri. Adakah diri kita dan negara mencapai sesuatu ke arah lebih baik atau sebaliknya. Nilaikan tahap kejayaan pada sambutan kemerdekaan tahun ini lebih baik atau lebih buruk berbanding tahun sebelumnya.   

Justeru, seluruh rakyat perlu mengisi kemerdekaan dengan sebaik-baiknya. Sambutan kemerdekaan menjadi detik menanam semangat baru menghadapi cabaran masa akan datang. Kemerdekaan adalah masa untuk manusia mengusahakan yang terbaik kerana tidak ada sekatan dan pengaruh daripada pihak lain.   

Sambutan kemerdekaan dapat dijadikan bukti kecintaan terhadap negara. Amalan mengibarkan Jalur Gemilang dan menghadiri program yang berkaitan sambutan kemerdekaan adalah manifestasi rasa cinta kepada negara.

Ulang tahun kemerdekaan mengingatkan kita kepada peranan yang perlu dimainkan oleh setiap warganegara untuk mengisi kemerdekaan ini dengan nilai-nilai positif dan menjauhkan perbuatan negatif.

Banyak generasi muda sekarang tidak begitu kisah mengenai sambutan kemerdekaan memandangakan mereka tidak melalui detik-detik betapa peritnya hidup pada zaman penjajah. 

Kita kena sedarkan generasi muda supaya lebih menghargai nikmat kemerdekaan dan menjadi rakyat yang bersedia melakukan apa saja demi mempertahankan kemerdekaan negara kekal selama-lamanya.

Kemerdekaan negara tidak memberi erti jika minda dan cara hidup kita masih lagi terkebelakang dan tidak mempunyai jati diri. 

No comments:

Post a Comment