Kemerdekaan
bukan sekadar bebas daripada penjajahan. Kemerdekaan ialah bebas melakukan
suruhan Allah dan menjauhkan larangan-Nya.
Negara
yang merdeka ditadbir secara mengikut tuntutan syariat agar dapat menjamin
kejayaan pembangunan rohani dan jasmani rakyat. Pertumbuhan ekonomi,
pembangunan fizikal, keselamatan dan kekuatan pertahanan dapat diurus dengan
baik.
Hari
dan bulan kemerdekaan yang disambut sekadar satu ritual. Sedangkan sebenarnya
setiap hari dan setiap bulan adalah perlu diisi dengan nilai-nilai kemerdekaan.
Justeru, kita perlu sentiasa menghargai nikmat kemerdekaan sepertimana tuntutan
agama.
Ada
orang tidak mengendahkan soal pengisian kemerdekaan negara dengan alasan tidak
termasuk dalam senarai ibadat. Kejahilan mengaitkan pengisikan kemerdekaan
dengan amalan agama berpunca fahaman kolot yang mengaitkan agama sekadar ibadat
khusus.
Hakikatnya,
Islam menyediakan satu sistem hidup yang komprehansif mencakupi segenap bidang
kehidupan.Islam diturunkan untuk seluruh umat manusia sepanjang masa dan dalam
semua bidang kehidupan.
Soal
kemerdekaan dan kenegaraan adalah urusan agama. Sebagai umat Islam kita perlu
berusaha merealisasikan Islam dalam segenap aspek kehidupan.
Kemerdekaan
adalah kebebasan, keamanan dan kemajuan. Negara yang masih terikat dengan kuasa
asing dalam soal pentadbiran bermakna tidak merdeka sepenuhnya. Begitu juga
negara tidak aman dan tidak menikmati kemajuan sepatutnya dianggap tidak
mencapai erti merdeka.
Islam
mencintai kebebasan dan bertanggungjawab membebaskan manusia daripada segala
bentuk kongkongan sistem hidup buruk. Kejayaan pertama nur Islam ialah
membebaskan bangsa Arab Jahiliyah daripada kehidupan jahil yang dicemari
peperangan, permusuhan, amalan kolot dan agama sesat.
Islam
amat mementingkan keamanan sebagai asas amalan hidup bermasyarakat dan
bernegara. Sekiranya negara sentiasa dicemari dengan tindakan pihak menganggu
keamanan, erti kemerdekaan sebenar belum tercapai sepenuhnya.
Setiap
rakyat wajib menjaga dan mewujudkan keamanan negara. Sesiapa bertindak
sebaliknya, adalah penderhaka kepada negara.
Umat
Islam yang gagal menjaga keamanan dan tidak mencapai kemajuan bermakna gagal
menjayakan falsafah ajaran Islam.
Islam
sentiasa menganjurkan usaha memajukan ummah. Sesungguhnya Islam tidak rela
membenarkan umatnya dalam kemiskinan dan kehinaan. Peluang kemerdekaan perlu
diisi dengan berusaha memajukan peluang ekonomi dan kehidupan lebih baik.
Amat
dukacita sekali masih banyak orang Islam hidup dalam kemelut kemiskinan. Nikmat kemerdekaan dan peluang membangunkan
ekonomi dipersia-siakan.
Keamanan
dan kemajuan negara hanya dapat dicapai jika rakyat bersatu. Soal berlainan
fahaman politik wajar dielakkan, kecuali semasa musim pilihan raya.
Jika
rakyat bersatu, semua urusan pentadbiran negara dapat dijalankan dengan
sempurna. Tumpuan kepada urusan pembangunan dapat diberikan sepenuhnya untuk
kebaikan semua.
Soal
kepimpinan satu aspek utama dalam sebuah negara merdeka. Sokongan rakyat dari
semua lapisan masyarakat amat perlu bagi menjayakan mengisi kemerdekaan negara.
Sekiranya rakyat leka dan membiarkan pemikiran dikuasai oleh pemikiran jumud,
mudah dipengaruhi dan tidak kritis, bererti tidak merdeka sepenuhnya.
Apa
yang dinikmati penganut Islam di negara kita adalah yang terbaik. Nasib umat
Islam di negara lain lebih malang dan memerlukan anjakan minda untuk berubah.
Banyak negara Islam mengalami tragedi dalam kuasa pemerintahan apabila berlaku
perebutan kuasa, perang saudara dan krisis ekonomi yang teruk.
Kejayaan
Malaysia membangun dan lahir sebagai negara Islam contoh adalah hasil pengisian
kemerdekaan dengan acuan keyakinan dan kesungguhan setiap rakyat. Aliran
pemikiran terbuka dan sederhana yang diamalkan berjaya mengelak persengketaan
dan ekstrim yang lebih membawa keburukan.
Amalan
ekstrim dalam beragama lebih mudah mencetus konflik dalam negara. Tambahan,
rakyat negara kita terdiri pelbagai kaum dan anutan agama. Ikatan perpaduan
antara kaum yang kukuh wujud hasil sikap toleransi dan memahami inspirasi
negara.
Hasil
kejayaan itu Malaysia kini menjadi contoh bagi negara Islam dan negara sedang
membangun. Dasar negara dijadikan model ikutan negara lain. Kejayaan itu hasil
pengisian kemerdekaan yang dilakukan secara teliti, bijaksana dan
berhemah.
Islam
amat menekankan kepada kemajuan negara.
Allah lebih menyukai orang beriman kaya dan kuat, berbanding dengan
orang beriman yang papa.
Selaras
dengan tuntutan agama, usaha membangunkan ekonomi rakyat perlu dijadikan agenda
mengisi kemerdekaan. Kadar kemiskinan perlu dikurangkan sehingga tahap
terendah.
Antara
kejayaan utama Khalifah Umar Ab Aziz yang memerintah kerajaan Bani Umaiyyah
ialah membasmikan kemiskinan. Beliau termasuk senarai tokoh pemimpin Islam yang
paling dikagumi selepas Rasulullah dan khalifah empat.
Kedudukan
Malaysia sebagai negara Islam sepertimana diperakui perlembagaan negara
diterima oleh semua kaum di negara kita. Negara luar juga mengiktiraf Malaysia
sebagai negara Islam.
Untuk
terus mengisi kemerdekaan dengan kejayaan, setiap rakyat perlu melipatgandakan
usaha dalam apa bidang diceburi. Penguasaan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai
bidang mesti diteruskan.
Masyarakat
yang berilmu dan berkemahiran menjadi pemangkin kejayaan negara. Islam meletak
kepentingan ilmu pada kedudukan tinggi. Sesiapa berilmu dilebihkan kedudukannya
di sisi Allah. Allah menaikkan darjat di kalangan orang berilmu banyak darjat
berbanding orang tidak berilmu.
Untuk
berjaya, penguasaan dalam pelbagai bidang ilmu amat penting. Penguasaan dalam
bidang teknologi, komunikasi, sains dan perdagangan amat penting bagi bersaing
di peringkat antara bangsa.
Kejayaan
pengisian kemerdekaan banyak disokong melalui ketaatan terhadap pemimpin.
Rakyat yang memahami hasrat kerajaan dapat bersama-sama dalam arus perdana
negara. Islam amat mementingkan amalan mentaati pemimpin.
Firman
Allah yang bermaksud: “Taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul dan
taatlah kamu kepada pemimpin di kalangan kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 59).
Ketaatan
kepada pemerintah wajib dilaksanakan walaupun tidak menyukainya, selagi mana
pemerintah tidak menyuruh melakukan perbuatan yang nyata bertentangan dengan
perintah Allah dan Rasul.
Hadis
diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Sesiapa tidak suka kepada dasar pemerintah
hendaklah sabar kerana seseorang yang keluar sejengkal daripada pemimpin dan
kemudian dia mati, maka kematiannya adalah mati jahiliah.”
Tokoh
ilmuan dan ulama terkenal, Hasan Basri menjelaskan bahawa rakyat wajib patuh
kepada dasar-dasar pemerintah, sekalipun pemerintah yang tidak adil, selama
mana agama masih ditegapkan dan keamanan negara masih terjamin.
Di
negara kita pemerintah dipilih melalui pilihan raya. Cara ini menepati kehendak
agama. Islam menetapkan agar pemilihan pemerintah atau pemimpin dilakukan
secara mesyuarah. Pemilihan yang diputuskan secara pilihan ramai.
Setiap
rakyat perlu bersedia mempertahankan
negara untuk menjamin keamanan dan kemajuan negara. Allah memperingatkan agar
setiap Muslim sentiasa bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan yang
mendatangkan bahaya dan kesan buruk kepada negara.
Firman
Allah bermaksud: “Bersiap sedialah bagi menghadapi mereka (yakni musuh-musuh)
dengan segala jenis kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda
yang lengkap sedia untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta
musuh-musuh lain selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan
Allah mengetahuinya.” (Surah al-Anfal, ayat 60).
Arahan
menyediakan kekuatan tentera bukan bermakna Islam menggunakan kekuatan
bersenjata untuk berkuasa. Persiapan tentera dan persenjataan sekadar
menggerunkan musuh dan menghadapi sebarang kemungkinan.
Untuk
menghadapi serangan daripada pihak musuh, amatlah perlu seluruh rakyat bersatu.
Perpecahan akan memudahkan pihak musuh menguasai kita.
Dalam
banyak sejarah peperangan, kejatuhan sesuatu kuasa bukan disebabkan kekuatan
tentera musuh yang menyerang, tetapi kelemahan pertahanan disebabkan perpecahan
sesama sendiri. Ada di kalangan rakyat yang sanggup menjadi talam dua muka dan
membantu musuh.
Sesiapa
menikam kerajaan dari belakang dengan membantu musuh, mereka itu menanggung
dosa yang besar. Golongan sedemikian merupakan pengkhianat bangsa.
Firman
Allah dalam surah Ali Imran ayat 112 bermaksud: “Akan ditimpa kehinaan di mana
sahaja mereka berada, kecuali mereka yang berpegang dengan tali Allah dan tali
dengan manusia.”
Perpecahan
sesama ummah akan melemahkan keseluruhan kesatuan. Sesiapa menyukai perpecahan,
bermakna telah menolak nikmat agama. Melalui Islam seluruh bangsa disatukan,
tanpa dibezakan-bezakan.
No comments:
Post a Comment