Wednesday 28 June 2023

NAGKA PUNCA ANGIN DALAM BADAN

 
Banyak orang mengatakan makan nagka akan menyebabkan perut berangin. Satu keadaan yang tidak selesa kepada perut dan merebak perasaan tersebut sehingga menguasai diri. Tidak senang duduk dan banyak keluar angin.
 
Betulkah nangka boleh menyebabkan perut berangin. Jawapannya ya. Nangka boleh menyebabkan badan berangin. Namun, fakta itu bukan untuk semua orang. Ia berlaku hanya pada orang tertentu. Sedangkan pada orang lain yang tidak menunjukkan langsung kesan perut berangin selepas makan nangka.
 
Jadi, jangan meletakkan satu “fakta” bahawa nangka menyebabkan angin menyerang badan. Kenali keadaan diri sendiri dalam menerima sebarang jenis makanan. Setiap orang berbeza-beza kesan daripada setiap jenis makanan.
 
Kepada yang tidak berdepan dengan masalah angin jika makan nangka, maka makanlah. Nangka memang sedap dimakan dan kaya khasiat.
 
Jika anda berdepan masalah angin selepas makan nangka, kurangkan makan nangka atau jangan makan langsung. Jangan pula kerana anda berdepan dengan masalah angin selepas makan nangka, maka dikatakan nangka akan mendatangkan masalah angin kepada semua orang. Itu satu kenyataan yang amat salah. Jangan fikir orang lain sama macam anda.
 
Sesiapa yang berdepan dengan masalah angin selepas makan nangka adalah disebabkan berdepan dengan masalah perut atau bahagian usus untuk menghadamkan buah nangka.
 
Istilah “angin” ialah gas yang datangnya dari dalam usus orang yang ada masalah penghadaman makanan. Pada hakikatnya, makanan itu tak bersalah dan tiada angin di dalamnya. Masalahnya ialah sistem penghadaman sesetengah orang yang tidak sempurna.
 
Bila makanan itu dihadamkan sehingga lumat, ia akan diserap dari dinding usus ke dalam darah. Jika makanan itu tidak dihadam, ia akan tinggal di dalam usus untuk dibawa keluar sebagai najis.
 
Makanan yang tak habis hadam akan juga melalui proses penghadaman yang dibantu oleh bakteria yang hidup di dalam usus manusia. Sebagai kesan sampingannya, bakteria itu mengeluarkan gas. Gas yang banyak boleh menyebabkan anda tidak selesa, perut kembung, sendawa dan terkentut-kentut.
 
Ada banyak jenis bakteria yang hidup dalam usus manusia. Ada bakteria yang membuat lebih banyak gas, ada bakteria yang membantu menukar gas semula ke bahan lain. Jika anda tidak ada keseimbangan bakteria di dalam usus, maka anda ada lebih kecenderungan mendapat gas berbanding orang lain.
 
Jika anda juga ada usus yang tidak cergas dan lambat membawa makanan yang tak habis hadam keluar sebagai najis, terutamanya jika anda membiarkan diri mendapat sembelit, maka ini juga memberi lebih masa untuk bakteria dalam usus itu bertindak ke atas makanan yang tak habis hadam itu, dan lebih lagilah pengeluaran gas, dan banyaklah lagi kentut anda.
 
Apa yang boleh merangsangkan dan mempercepatkan pergerakan usus anda ialah kecergasan diri dan bersenam. Ini boleh mengurangkan masalah sembelit dan gas di dalam usus.
 
Kesimpulannya, bukan buah nangka punca tubuh berangin, tetapi disebabkan sistem penghadaman yang gagal menghadamkan nangka. Setiap orang mempunyai keadaan berbeza dalam hal itu.

No comments:

Post a Comment