Saturday 10 June 2023

POLITIK DENDAM PALING TIDAK BERMARUAH

 
Satu perjuangan yang sia-sia jika ia sentiasa berubah-ubah. Tiada hala tujuan. Berubah mengikut kepentingan diri sehingga menggadaikan maruah diri. Perkara itu banyak dikuasai oleh rasa dendam dan menyalahkan pihak lain. Hanya diri diri dia yang betul dan semua orang lain salah, melainkan yang menyokong pemikiran songsang diamalkan olehnya.

Salah satu amalan terkejam dalam hidup adalah membiarkan fikiran yang cemerlang dikuasai oleh perasaan dendam dan menyalahkan pihak lain. Pihak yang perlu dikeji dan dijadikan lawan, diambil sebagai kawan dan dipuji meninggi semata-mata telah seia sekata dapat saling membantu menjayakan agenda balas dendam.

Amat malang apabila jiwa yang dahulunya kental demi sebuah perjuangan suci, ditukar kepada kehendak yang dangkal dan membodohkan diri sendiri. Tiada lagi sikap mengutamakan berfikir, sebaliknya nafsu buruk yang diletakkan di hadapan. Inilah dikatakan mendahulukan nafsu sebelum berfikir.  

Mereka berjuang atas nama Melayu dan Islam. Namun tindakan dilakukan tidak mencerminkan semangat Melayu dan tuntutan Islam. Melayu mengajar kepada kesetiaan dan ketaatan, namun durhaka dan menikam belakang yang dilakukan. Katanya untuk Islam, tetapi tidak mengikut ajaran Islam yang mementingkan persaudaraan dan takwa.

Politik yang menghalalkan apa sahaja demi menjatuhkan orang lain, tidak pernah berjaya membela bangsa dan agama. Inilah tindakan politik paling bodoh dan kejam. Namun, mereka yang terdesak tidak akan memperdulikan kesan keburukannya. Menjatuhkan dan mensengsarakan orang lain dianggap satu perjuangan murni dan bermaruah.

Inilah sebenarnya politik tahi. Politik menerima apa yang telah dibuang selama ini. Politik yang mengumpulkan semula tahi-tahi yang terapung di permukaan air. Mereka sangka tahi itu boleh dijadikan pelampung menyelamatkan diri atau mencapai apa yang diingini.

Ketika mengumpulkan tahi-tahi itu, tentu sekali tubuh mereka akan terkena najis itu. Dalam keadaan terkapai-kapai mengumpulkan najis terapung itu, ada yang masuk ke dalam mulut dan ditelan biarpun mereka sendiri tahu itu menjijikkan dan boleh mendatangkan mudarat.

Kepada pemimpin yang bermain politik kotor dan menjijikkan, sudah-sudahlah menjadikan isu Melayu dan Islam untuk menampakkan diri sebagai suci dan berlagak seperti dewa untuk menentukan nasib orang lain. 

Bersyukurlah dengan apa yang diperoleh selama ini. Jangan jadi macam kacang lupakan kulit.

No comments:

Post a Comment