Tuesday, 11 July 2023

Pertuduhan salah guna kuasa Muhyiddin lengkap - TPP

 
Pihak pendakwaan menegaskan pertuduhan rasuah RM232.5 juta dihadapi Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak bersifat diskriminasi, berikutan keperluan undang-undang mengikut Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah sudah dipatuhi.
 
Pihak pendakwaan memberi hujahan bahawa tiada pelanggaran hak terhadap Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengikut Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
 
Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan menerusi perbicaraan jenayah menjamin hak tertuduh setiap daripada mereka boleh mendapatkan semua hak substantif dan prosedur, termasuk mengemuka pembelaan sama seperti tertuduh kes lain.
 
Bekas Perdana Menteri berkenaan diberikan prosedur sama dan berhak untuk mengemuka sebarang permohonan serta pembelaan sama seperti tertuduh kes lain tanpa diskriminasi.
 
Muhyiddin juga berhak untuk menyediakan segala pembelaannya dalam kes ini. Seperti mana yang dihujahkan di atas, cara atau bagaimana pemohon menggunakan kedudukannya boleh dibuktikan melalui keterangan sewaktu perbicaraan penuh kelak dan tidak perlu dinyatakan dalam pertuduhan.
 
Perkara utama perlu dipertimbang ialah elemen atau inti pati di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimasukkan dalam pertuduhan yang menjadi perkara dalam permohonan sudah dipenuhi dan dipatuhi, bukan cara di mana sesuatu elemen dicapai.
 
Sesuatu yang pramatang untuk menghujahkan mengenai cara bagaimana suatu kesalahan itu perlu dijelaskan, sedangkan keterangan daripada saksi masih belum didengar.
 
Itu antara intipati hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 11 Julai 2023.
 
Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
 
Pengerusi PN itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.
 
Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.
 
Ini berikutan didakwanya tiada mana-mana satu pun daripada tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.
 
Muhyiddin, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU.
 
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
 
Pihak pendakwaraya menjelaskan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin Yassin adalah lengkap dengan butiran untuk memaklumkan bekas perdana menteri itu mengenai kesalahan yang didakwa itu.
 
Pendakwaraya menegaskan bahawa empat pertuduhan berkenaan menyatakan unsur-unsur kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, iaitu Muhyiddin atas kapasitinya sebagai pegawai awam ketika itu iaitu perdana menteri, telah menggunakan jawatan berkenaan untuk suapan RM232 juta.

No comments:

Post a Comment