Al-Quran adalah anugerah terbesar Allah SWT
yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan seluruh umat baginda. Dari segi
bahasa, al-Quran bermaksud bacaan. Manakala dari segi istilah al-Quran
bermaksud kitabullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui
perantaraan malaikat Jibril secara mutawatir di dalam bahasa Arab dan membacanya
adalah ibadah.
Bentuk isi kandungan al-Quran meliputi
perintah-perintah Allah SWT kepada manusia, hukum-hukum, cerita-cerita sejarah
untuk dijadikan pedomen hidup, asas-asas ilmu pengetahuan dan segala macam
panduan berguna untuk manusia.
Penurunan al-Quran dianggap mukjizat yang
memberi kebaikan dan kelebihan kepada seluruh umat manusia yang kekal hingga ke
hari kiamat. Penurunan kitab menjadi wasilah untuk agama sampai kepada kita
untuk dijadikan pegangan.
Selain al-Quran, Allah SWT juga menurunkan
kitab-kitab kepada umat terdahulu. Namun kitab itu telah dimansuhkan
penggunaannya apabila Al-Quran yang lengkap diturunkan. Tidak ada yang
tertinggal, melainkan semuanya tercatat dalam al-Quran untuk panduan hidup
manusia.
Manakala, sunnah pula dari segi bahasa
bermaksud jalan. Ia juga bererti "peraturan sesuatu amalan yang dilakukan
berulang kali." Di dalam istilah syarak, sunnah atau hadith bermaksud
'sesuatu yang terbit dari Nabi Muhammad SAW selain dari al-Quran, sama ada
perkataan, perbuatan atau perakuan."
Imam Ibn Hajar mendefinisikan hadis
sebagai: "Sunnah ialah apa-apa yang disandarkan kepda Rasulullah
SAW." Manakala Ali al-Qari dalam Syarh Nukhbah al-Fikir telah
mentakrifkan hadis sebagai "Apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada
perkataan, perbuatan, taqrir, gerak dan diam, sama ada semasa jaga atau
tidur."
Sesuai kedudukan Nabi Muhammad sebagai
pembawa rahmat dan pemimpin ulung, setiap apa yang dilakukan oleh baginda
sentiasa diperhati dan dicontohi oleh para sahabat. Pakar sejarah menyatakan
tidak ada manusia di dunia ini yang mana setiap apa yang dilakukan, dicakap
maupun ketika diamnya diperhati oleh orang lain untuk dijadikan ikutan.
Dalam perundangan Islam, sumber utama kepda
sesuatu hukum ialah al-Quran dan al-sunnah atau dikenali dengan al-nas
al-sharie. Hal ini bertepatan dengan perintah Allah seperti mana tercatat dalam
al-Quran surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: "Apa yang diberikan Rasul
kepadamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang dilarangnya bagimu tinggalkannya."
Sunnah berkait rapat dengan Rasulullah SAW. Malah, Rasulullah SAW dipertanggungjawab oleh Allah sebagai penjelas atau pentafsir kepada al-Quran.
Firman Allah dalam surah an-Nahal, ayat 44
yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran
supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan
kepada mereka."
Ayat-ayat al-Quran terdapat sebanyak 6236
ayat (sebahagian ulama menyatakan 6,666 ayat) diturunkan dalam tempoh 22 tahun
2 bulan 22 hari, iaitu sembilan tahun di Makkah dan 13 tahun di Madinah. Ia
melibatkan 74,437 kalimat dan 325,345 huruf. Setelah dikumpulkan, ia
dibahagikan kepada 30 juz dan 114 surah.
Manakala sunnah pula terdapat ratusan ribu
yang tersebar di kalangan para sahabat dan dikumpul oleh para pakar hadis.
Maka itu, kita dapat bayangkan akan wujud
bermacam-macam bentuk lafaz yang digunakan di dalam setiap dalil sama ada dari
al-Quran mahupun sunnah. Ulama telah membahagikan kepada dua kategori, iaitu
lafaz yang jelas dan lafaz yang tidak jelas.
Sunnah berkait rapat dengan Rasulullah SAW. Malah, Rasulullah SAW dipertanggungjawab oleh Allah sebagai penjelas atau pentafsir kepada al-Quran.
No comments:
Post a Comment