Sikap segelintir anggota masyarakat hanya
memasang Jalur Gemilang jika diberi percuma oleh kerajaan atau
swasta. Sebab itu, mereka akan bertanya di manakah boleh dapatkan bendera percuma.
Mereka akan marah-marah jika tidak ada yang menyediakan bendera percuma untuk
menjayakan kempen kibarkan Jalur Gemilang.
Sikap mengharapkan Jalur Gemilang subsidi
amat memalukan. Harganya bukan ratusan ringgit, tetapi hanya di antara RM1
hingga RM10 bergantung saiznya. Rasanya tidak mungkin disebabkan keadaan
ekonomi yang tidak menentu sekarang rakyat kita tidak mampu untuk membeli
sendiri Jalur Gemilang.
Semangat mengibarkan Jalur Gemilang tidak
seharusnya kerana mendapatnya secara percuma, tetapi biarlah didasarkan kepada
keutuhan jiwa dan semangat sayangkan negara. Jalur Gemilang adalah simbol
semangat patriotik setiap warganya yang sanggup berkorban apa saja demi
mempertahankan negara.
Cuba kita fikirkan, apa yang mampu
diharapkan terhadap rakyat yang tidak sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang
amat kecil untuk membeli Jalur Gemilang. Mereka ini tidak sanggup berkorban
untuk menunjukkan tanda cinta terhadap negara.
Ketika Jalur Gemilang telah dibawa ke
angkasa lepas oleh angkasawan negara, malang sekali masih ada rakyat yang
menganggap ia hanya tidak ubah seperti kain-kain lain yang dicorakkan dengan
lambang tertentu saja.
Rakyat sepatutnya menghayati kata pujangga
berkaitan bendera: "Bendera adalah suatu perkara yang mudah iaitu tidak
lebih daripada secebis kain berwarna. Walau bagaimanapun kerananya manusia
sanggup bermati-matian."
Dalam peperangan, bendera dijadikan lambang
kepada bahawa pasukan itu masih 'kuat' selagi bendera negaranya masih berkibar.
Sebab itu, dalam peperangan terbuka melibatkan dua negara, contohnya ketika era
peperangan yang membawa kepada penjajahan, bendera akan dinaikkan di
tengah-tengah kubu pertahanan. Jika pihak musuh berjaya menurunkan bendera
pasukan di satu-satu kawasan pertempuran, maka kawasan itu telah dianggap
dikuasai atau dijajah.
Satu lagi yang perlu diberi perhatian ialah
keadaan bendera dan cara ia diletakkan. Sedih rasanya melihat Jalur Gemilang
yang dikibarkan dalam keadaan warna lusuh, malah sesetengah tempat ia korak
rabak. Sudahlah pula ia dikibarkan secara kedudukan yang tidak betul. Kedudukan
Jalur Gemilang mesti diutamakan atau disusun mengikut kedudukan yang betul jika
ia dikibarkan bersama-sama bendera lain, termasuk logo syarikat.
Sebenarnya, Galur Gemilang yang dijadikan
'penanda' rasmi kepada kawasan atau premis, perlu dinaikkan pada waktu siang
dan diturunkan pada waktu malam. Ini seperti yang diamalkan di kem-kem tentera
yang mana ada anggota khas ditugaskan untuk menurun dan menaikkan bendera
secara tertib. Malah, acara menurunkan bendera di kem tentera pada sebelah
petang diadakan secara kawat khas yang turut disertai pegawai yang akan
bertugas pada sebelah malam.
Jadi, sepatutnya perkara ini diamalkan,
menaikkan bendera pada waktu pagi dan menurunkan semula pada waktu sebelum
malam. Ini secara langsung lebih menaikkan rasa hormat dan sayang kepada Jalur
Gemilang. Jika dibiarkan berpanas dan berhujan dari mula ia dinaikkan atau
diletakkan di situ sehinggalah lusuh dan seterusnya koyak rabak sehingga jatuh
sendiri, di manakah semangat patriotik kita terhadap negara.
Jika dalam peperangan musuh yang akan
menurunkan bendera kita sebagai tanda kalah, apakah kita akan membiarkan Jalur
Gemilang lusuh dan koyak yang melambangkan betapa rapuh dan lemahkan semangat
patriotik kita?
Kibarkan Jalur Gemilang dan serlahkan
semangat patriotik yang perlu subur dalam setiap sanubari rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment