Sunday 29 September 2024

POKOK RUMBIA MATI SELEPAS BERBUAH

Pokok rumbia atau dipanggil sebagai pokok sagu adalah sejenis pokok palma. Pokok rumbia tumbuh subur di kawasan tanah lembab dan gambut. Pokok rumbia tumbuh meliar tanpa ditanam. 

Pokok rumbia mempunyai batang yang bersaiz besar dan tegap dengan tumbuh menegak sehingga mencapai ketinggian antara 10–12 meter. Batangnya dilihat mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi. Daun pokok rumbia yang keras dan boleh tahan lama turut dijadikan atap.

Pokok rumbia mempunyai banyak pelepah berbentuk pinnate 6-8 meter panjang yang mula-mula tegak kemudian perlahan-lahan melengkung ke bawah.

Fakta menarik mengenai usia pokok rumbia ialah pokok matang akan berbunga. Tempoh matang bergantung kepada kesuburan tanah. Secara purata, pokok rumbia boleh dituai apabila menjangkau umur 12 hingga 13 tahun di tanah mineral dan 15 hingga 18 tahun di tanah gambut.

Pokok rumbia mengeluarkan jambak bunga yang menghasilkan banyak bunga jenis dwiseks dan kemudian akan mengeluarkan buah rumbia. Bunga adalah jenis ‘protandrous’ di mana bunga jantan akan menjadi matang dahulu daripada bunga betina. Ini bagi memastikan pendebungaan kacuk (cross pollination) akan berlaku.

Tempoh pokok rumbia berbunga sehingga menghasilkan buah yang matang mengambil masa kira-kira dua tahun. Selepas itu pokok itu akan mati. Dengan kata lain, kita dapat mengetahui pokok itu akan mati apabila tamat masa berbunga dan mengeluarkan buah yang akan menjadi benih.

Sepohon pokok rumbia boleh menghasilkan buah sehingga mencapai melebihi 100 kilogram. Rasa buah sagu kelat manis. Biasanya buah sagu akan diperam atau direndam di dalam selut selama dua tiga hari untuk mengurangkan rasa kelat. Buah yang diperam boleh dimakan begitu sahaja.


No comments:

Post a Comment