Saturday, 19 February 2022

MASJID MUHAMMADI BANGUNAN TERINDAH

  
Masjid Muhammadi merupakan masjid yang terkenal di Malaysia secara amnya, dan secara khususnya di Kelantan. 
 
Pada asalnya masjid ini diberi nama sebagai Masjid Besar Kota Bharu. Masjid ini telah dibina pada tahun 1867 pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Kedua (1830 - 1886) dengan menggunakan kayu-kayu yang terpilih. 
 
Kewujudan Masjid Besar Kota Bharu menyerlahkan fungsi masjid sebagai pusat perkembangan ilmu. Berhampiran bangunan Masjid Besar Kota Bharu dan kawasan sekitar telah wajud beberapa pusat pengajian Islam dan pusat pentadbiran Islam. 
 
Pengubahsuaian bangunan masjid daripada kayu kepada struktur konkrit telah dilakukan pada tahun 1922 dan telah dirasmikan oleh oleh Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931 dan dinamakan sebagai Masjid Muhammadi. 
 
Nama Masjid Muhammadi diambil sempena nama Sultan Muhammad Keempat. Ia juga dipanggil sebagai "Masjid Besar" di kalangan sesetengah rakyat Kelantan. 
 
Ia dianggap bangunan tercantik di Kota Bharu dan di antara bangunan terawal mendapat bekalan elektrik sepenuhnya. 
 
Masjid ini mengalami kerja-kerja pengubahsuaian dan pembesaran pada tahun 1959, 1968, 1976 dan 1987. 
 
Luas keseluruhan masjid kini adalah 10,600 kaki persegi dan boleh memuatkan seramai 2,400 orang ahli jemaah. 
 
Peranan Masjid Muhammadi di dalam penyebaran dan pendidikan Islam di Kelantan amatlah istimewa. Di sinilah beberapa ulama besar Negeri Kelantan telah mengajar pelbagai ilmu agama. Di antaranya ialah Tuan Taba (1840-1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali (1868-1933). 
 
Sistem pengajaran di masjid ini mempunyai persamaan dengan pengajaran di Masjidil Haram, Makkah di mana pelajar akan ke Makkah untuk menyambung pelajaran mereka setelah tamat pengajian di masjid ini. 
 
Masjid ini menjadi pusat penyebaran ilmu agama yang masyhur di Nusantara sehingga Kelantan dikenali sebagai "Serambi Mekah".

No comments:

Post a Comment