Saturday 10 December 2022

UEC DAN SEKOLAH MENENGAH PERSENDIRIAN CINA

  
Unified Examination Certificate atau singkatannya UEC adalah sijil bagi pelajar lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). UEC merupakan ujian peperiksaan menengah yang ditadbir oleh Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sejak tahun 1975. 
 
SMPC menerima pelajar daripada pelbagai kaum dan agama termasuk pelajar Melayu.
 
Sekolah-sekolah Cina ini diasaskan oleh etnik Cina di Malaysia sejak awal abad ke-20. Namun, pada awal 1960-an, susulan Penyata Rahman Talib dan Akta Pendidikan 1961, sekolah-sekolah ini ditawarkan menjadi sekolah bantuan penuh kerajaan dengan syarat mereka menjalankan sistem dan kurikulum kebangsaan.
 
Semua sekolah rendah dan sebahagian sekolah menengah Cina menerima tawaran ini manakala sebahagian daripada sekolah menengah itu enggan dan mahu mengekalkan status persendirian dan bebas mereka.
 
Sekolah-sekolah yang menerima tawaran tersebut kini dikenali sebagai Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) (SRJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) (SMJKC), manakala yang lain kekal sebagai Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
 
Ketika in, terdapat sejumlah 60 Sekolah Tinggi Persendirian Cina di Malaysia. Bilangan ini tidak bertambah sejak tarikh tersebut. Mereka diuruskan oleh Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
 
Perlu disebutkan tawaran yang sama dibuat kepada Sekolah Rendah Tamil yang semuanya diubah menjadi SRJKT. Tetapi berbeza dengan masyarakat Cina, sekolah menengah Tamil tidak pernah wujud. Oleh itu, tidak ada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil atau Sekolah Menengah Persendirian  India/Tamil dan tidak wujud peperiksaan khas (seperti UEC) bagi pelajar dalam Bahasa Tamil.
 
SMPC beroperasi seperti sekolah swasta sepenuhnya. Sekolah-sekolah ini tidak menerima sebarang bantuan dari Kerajaan, tidak menjalankan kurikulum kebangsaan dan tidak mengambil peperiksaan awam Malaysia. 
 
Sebaliknya, SMJKC dan SRJKC adalah seperti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang menjalankan kurikulum kebangsaan serta menerima bantuan perkapita, guru dan seumpamanya daripada kerajaan.
 
Walaupun pada awal penubuhan sekolah-sekolah Cina di Malaysia kurikulumnya berkiblatkan negeri China dan Taiwan, kurikulum SMPC dan UEC telah di”Malaysia”kan. Kini, tidak ada lagi mana-mana bahagian kurikulum UEC yang dicedok daripada kurikulum negara lain dan kesemua panel penggubal kurikulum adalah rakyat Malaysia. 
 
Banyak universiti luar negara dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia menerima pelajar lepasan UEC dengan mengiktirafnya sama seperti STPM/A-Level.
 
Oleh kerana UEC telah diiktiraf oleh lebih 200 IPT di seluruh dunia, termasuk kebanyakan IPTS Malaysia, standard akademiknya diandaikan memadai. 
 
Kebanyakan pihak yang mempertikaikan UEC tidak mempertikaikan standard akademiknya. Standard akademik mata-mata pelajaran UEC (kecuali Bahasa Melayu dan Sejarah) tidak menjadi sebab penentangan.
 
Isu utama mengenai UEC sebenarnya melibatkan aspek pembangunan jati diri rakyat Malaysia dan sejauh mana lepasan UEC memenuhi aspirasi dan falsafah pendidikan Kebangsaan termasuk keupayaan Bahasa Melayu, kefahaman terhadap sejarah dan semangat patriotisme Malaysia.
 

No comments:

Post a Comment