Pada 13 Disember 1977, Majlis Tertinggi
Barisan Nasional (BN) telah memutuskan supaya PAS memecat Ahli-ahli Parlimennya
yang menentang keputusan Ketua Whip BN di Dewan Rakyat pada 8 November 1977
atau PAS akan terpecat daripada menjadi anggota BN dengan sendirinya jika gagal
berbuat demikian sebelum 17 Disember 1977.
Keputusan asal Majlis Tertinggi BN pada 5
Disember 1977 yang mahu PAS memecat wakil rakyatnya itu telah ditolak oleh
Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 6 Disember 1977, yang mendorong Majlis
Tertinggi BN memaksa PAS dengan alternatif PAS terpecat dari BN. Dengan
terpecatnya PAS dari BN ini, terputuslah hubungan antara PAS dengan parti-parti
komponen BN yang wujud sejak PAS menyertai Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada
1 Januari 1973, sebelum BN ditubuhkan pada 1 Jun 1974.
Krisis PAS dengan BN sejak
ia ditubuhkan ini bermula daripada Pilihan Raya Umum 1974 di mana PAS tidak
berpuas hati dengan pengagihan kerusi dan juga perjawatan kabinet, sedangkan
Umno pula mensabotaj PAS dalam kes perlantikan Menteri Besar Kelantan.
Setelah itu, PAS terus mendesak Kerajaan BN
supaya meningkatkan komitmen dalam perlaksanaan syariat Islam, sehingga timbul
isu PAS dituduh menubuhkan cawangan di kawasan-kawasan yang dikuasai Umno dan
PAS menerima laporan berlakunya tindakan merendah-rendah dan mengkritik PAS
yang dilakukan oleh pemimpin beberapa parti komponen BN. Isu-isu ini hangat
diperkatakan oleh ahli-ahli PAS dalam Muktamar Tahunan PAS antara 1975 hingga
1977.
Selain beberapa isu ketidakpuasan hati yang
sering dibangkitkan dalam mesyuarat Setiausaha-setiausaha Agung BN, isu yang
menjadi punca perpecahan ini ialah campur tangan Umno dalam isu Menteri Besar
Kelantan. Bermula dengan tindakan Umno menolak calon Menteri Besar yang
dikemukakan oleh PAS, Wan Ismail Ibrahim, yang menyebabkan calon pilihan Umno,
Dato' Mohamad Nasir terlantik.
Akibat dari perlantikan ini, Dato' Mohamad
Nasir yang menganggap dirinya sebagai "Menteri Besar BN" telah
beberapa kali berkonflik dengan PAS Kelantan sehingga beliau didesak meletakkan
jawatan. Akhirnya, Dato' Mohamad Nasir telah mengemukakan surat perletakan
jawatan pada 20 November 1976 yang berkuat kuasa mulai 31 Ogos 1977.
Walau bagaimanapun, dengan campur tangan
Umno, Dato' Mohamad Nasir telah tidak meletakkan jawatan sehingga menyebabkan
timbulnya krisis politik Kelantan yang berakhir dengan pemecatan keahlian
Menteri Besar Kelantan itu dari PAS pada 10 Oktober 1977, diikuti oleh usul
undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977.
Bertolak dari undi tidak percaya ini, telah
berlaku demonstrasi yang dimotori oleh penyokong Umno dan juga rusuhan dan
keganasan yang memusnahkan harta benda di Kota Bharu berkemuncak pada 22
Oktober 1977.
Ekoran itu, perintah berkurung dikeluarkan,
diikuti oleh beberapa siri rundingan yang menimbulkan cadangan Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 25 Oktober 1977 untuk
mendaruratkan Kelantan. Cadangan yang tidak dipersetujui oleh PAS ini telah
persetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn pada 2 November 1977.
Perdana Menteri itu memberi tempoh sehingga 7 November 1977 kepada PAS untuk
membuat keputusan menyokong cadangan beliau mendaruratkan Kelantan.
Pada 4 November 1977, sebelum PAS mengambil
pendirian, Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Kelantan akan
didaruratkan, yang menimbulkan kemarahan PAS.
Pada 6 November 1977, PAS telah membuat
keputusan untuk menolak Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977
dan mengarahkan semua penjawat awam (menteri, timbalan menteri dan setiausaha
parlimen) PAS meletakkan jawatan bagi membolehkan mereka menentang
undang-undang tersebut di Dewan Rakyat.
Pada 8 November 1977, setelah Perdana
Menteri membentangkan rang undang-undang itu, wakil-wakil rakyat PAS termasuk
Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah berucap menentang usul
kerajaan itu dengan 12 daripada 14 wakil rakyat PAS mengundi menentangnya.
Ekoran tentangan PAS terhadap usul kerajaan ini, pada 5 Disember 1977, Majlis
Tertinggi BN telah mengarahkan supaya PAS memecat keahlian wakil-wakil
rakyatnya yang melanggar arahan Ketua Whip BN. Walau bagaimanapun, pada 6
Disember 1977, PAS memutuskan untuk bertegas tidak akan berbuat demikian.
Keputusan PAS ini telah dibincangkan semula
oleh Majlis Tertinggi BN pada 13 Disember 1977. Mereka memutuskan supaya PAS
bertindak tegas dengan memecat keahlian wakil-wakil rakyatnya dengan segera.
Jika PAS gagal berbuat demikian sehingga 17 Disember 1977, maka PAS dengan
sendirinya akan terpecat dari BN.
Memandang serius keputusan Majlis Tertinggi
BN ini, PAS pada 14 Disember 1977 bukan sahaja berkeras tidak akan bertindak ke
atas Ahli-ahli Parlimennya yang mematuhi arahan parti, sebaliknya menganggap
tindakan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Datuk Haji Hassan Adli Mohd
Arshad telah terpecat dari PAS kerana melanggar arahan parti supaya menentang
rang undang-undang tersebut.
PAS juga menganggap keputusan Majlis
Tertinggi BN pada 13 Disember 1977 adalah memberi maksud bahawa PAS telah
dipecat dari BN, dan PAS tidak perlu menunggu hingga 17 Disember 1977 untuk
terpecat dari BN. Dengan pendirian PAS terhadap keputusan Majlis Tertinggi BN
pada 13 Disember 1977 ini, PAS telah kembali menjadi pembangkang setelah lima
tahun berada dalam kerajaan.
Gambar - Datuk Muhammad Nasir
SUMBER
Punca krisis Kelantan 1977
https://jwaliman.blogspot.com/2023/12/fdv.html
https://jwaliman.blogspot.com/2023/12/fdv.html
Sejarah pemecatan PAS daripada Barisan
Nasional pada 1977
No comments:
Post a Comment