Antara sejarah kejayaan
umat Islam yang dicatat pada bulan Ramadan ialah kejayaan tentera Islam
mengalahkan tentera kafir dalam Perang Badar. Peperangan itu berlaku pada 17
Ramadan tahun kedua Hijrah, di satu tempat kawasan lembah dekat kota Madinah
yang dikenali Badar.
Peperangan itu berlaku
disebabkan hasutan kaum Yahudi yang tidak senang melihat kejayaan Rasulullah
mentadbir masyarakat Madinah dengan aman serta semakin banyak yang memeluk
agama Islam biarpun baru dua tahun berlaku Hijrah. Kaum Yahudi di Madinah
mengambil kesempatan persiapan perang yang dilakukan oleh kafir Quraisy Makkah,
lalu mengapi-apikan agar serangan itu disegerakan.
Kedudukan kaum Muslim
ketika itu belum betul-betul kuat. Bilangan kaum Muslim belum banyak dan
peralatan perang yang dimiliki amat kurang berbanding yang digunakan oleh
musuh. Tambahan pula, Rasulullah seboleh-bolehnya ingin mengelak daripada
berlaku peperangan kerana berpendapat keamanan, kesejahteraan dan keselamatan
perlu lebih diutamakan dalam usaha melakukan dakwah.
Namun, merasakan itulah
satu-satu cara untuk mempertahankan kedudukan kaum Muslim, dan turunnya wahyu
agar berperang (sedangkan peperangan bukan perkara yang diingini), maka
Rasulullah menyiapkan satu angkatan perang yang disertai oleh 300 orang
tentera.
Kekuatan itu jauh lebih kecil
berbanding kekuatan tentera musuh seramai 1,000 orang. Ini bererti seorang
tentera Muslim berdepan dengan tiga orang musuh. Namun atas kekuatan semangat
dan jihad mempertahankan keselamatan seluruh kaum Muslim, dan pertolongan
Allah, peperangan itu dimenangi oleh tentera Muslim.
Pada tahun Kelapan
Hijrah pula tercatat kejayaan kaum Muslim membebaskan kota Makkah daripada
kekuasaan kafir Quraisy. Tanggal 18
Ramadan tahun itu, Rasulullah bersama-sama 12,000 kaum Muslim bertolak dari
Madinah ke kota Makkah untuk membebaskan Makkah.
Pembebasan kota Makkah
atau lebih terkenal disebut Futuh Makkah menandakan satu era baru dalam sejarah
perkembangan Islam. Kalau sebelum itu hanya kota Madinah yang menjadi pusat
pengembangan Islam, penguasaan terhadap Makkah yang menjadi kiblat (iaitu
Kaabah) untuk seluruh umat Islam, menambahkan kekuatan syiar Islam.
Sebelum Makkah dikuasai
kaum Muslim, kafir Quraisy di Makkah sentiasa merancang memerangi kaum Muslim
di Madinah, termasuk mengepung penduduk Madinah selama berminggu-minggu dalam
Perang Ahzab.
Mengikut catatan
sejarah, selain sikap berterusan kafir Quraisy memusuhi Islam, tindakan
Rasulullah ingin menguasai Makkah disebabkan kafir Quraisy melanggar Perjanjian
Hudaibiah yang antara lain kandungannya melarang berlaku serangan ke atas
mana-mana pihak atau ke atas pihak -pihak yang mengadakan perjanjian dengan
mereka.
Kafir Quraisy melanggar
perjanjian itu apabila Bani Bakr dalam naungan Quraisy bertindak menyerang Bani
Khuzzah yang berada dalam naungan Islam. Serangan Bani Bakr dibantu pihak
Quraisy sehingga menyebabkan banyak orang dari Bani Khuzzah terbunuh.
Tindakan kafir Quraisy
menimbulkan kemarahan kaum Muslim dan sekaligus mengambil tindakan memerangi
kafir Quraisy di kota Makkah. Kafir
Quraisy yang sedar kesalahan dilakukan mereka mencabuli perjanjian itu telah
menghantar Abu Sufian bin Harb bertemu Rasulullah untuk memohon maaf, namun ia
ditolak.
Apabila Rasulullah
bersama-sama bala tentera berada berhampiran kota Makkah, kafir Quraisy yang
sedar mereka tidak mampu menandingi kekuatan tentera Muslim tidak melakukan
sebarang penentangan, bahkan menyerahkan nasib mereka kepada Rasulullah. Tentera Muslim berjaya memasuki kota Makkah
dengan aman biarpun terdapat sedikit pertempuran.
No comments:
Post a Comment