Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
(JBPM) menjadi tempat orang ramai mengadu apa sahaja bentuk kecemasan. Ada
perkara yang sebenarnya tidak cemas, tetapi dianggap cemas atau ancaman oleh
orang ramai.
Contohnya, Pasukan A Balai Bomba Bandar Tun
Razak terima panggilan kecemasan ancaman labah-labah. Setiap panggilan kecemasan
dianggap ‘cemas’ dan memerlukan tidakan segera. Itulah prinsip diamalkan JBPM.
Mereka bukanlah pakar dalam semua bidang,
tapi cuba berikan yang terbaik kepada masyarakat. Sebelum kehadiran pakar-pakar
berkaitan, anggota JBPM akan sampai dahulu untuk tenteramkan keadaan
bersama-sama pengadu.
Sebaik sahaja panggilan kecemasan diterima,
loceng berbunyi, mahu tidak mahu, tugas mereka akan bermula. Mampu atau tidak,
ia merupakan perkara kedua, yang penting keselamatan pengadu dan masyarakat
diutamakan dahulu.
Justeru, ketika ada yang menolak sesuatu
tugas, anggota JBPM tetap terima biarpun skop tugasnya tiada. Banyak hati dan
perasaan yang perlu dijaga.
Kalau hendak dikira, labah-labah sahaja.
Apa yang hendak dikecohkan. Itu pandangan mereka yang telah biasa dengan
labah-labah. Namun, bagi mereka yang tidak pernah ‘bersama’ labah-labah
sepanjang hidup mereka, tentu sekali melihat labah-labah berada di dalam rumah
dianggap sesuatu ancaman atau mendatangkan bahaya.
Kebanyakan gigitan labah-labah tidak mendatangkan
kesan bisa kepada manusia, walaupun ia boleh membunuh mangsanya untuk dijadikan
makanan. Bisa labah-labah memberi kesan kepada binatang atau serangga kecil.
Pun begitu, ada juga jenis labah-labah yang
sengatannya mengeluarkan bisa yang boleh membahayakan manusia. Justeru jika
tidak tahu atau kenal mana yang boleh mendatangkan bahaya atau tidak, baik
anggap semua jenis adalah berbahaya. Itu lebih selamat.
Justeru, kalau ada yang membuat panggilan
kecemasan apabila ada labah-labah di dalam rumah mereka, itu boleh dianggap
sebagai ‘patut’.
No comments:
Post a Comment