Thursday 20 February 2020

ISU PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA


Contoh kes. Lelaki meninggal dunia. Meninggalkan ibu, balu dan seorang anak lelaki. Maka harta itu dibahagikan mengikut faraid dengan kadar berikut; ibu mendapat 1/6, isteri (1/8) dan anak lelaki mendapat baki kesemua harta tersebut. Adik beradik si mati 'terhalang' mendapat harta pusaka itu kerana ada anak lelaki.

Walaupun anak lelaki itu bawah umur, kanak-kanak bahkan ketika masih dalam kandungan, apabila dilahirkan maka dia berhak mewarisi harta pusaka bapanya.

Siapa berhak menguruskan harta tersebut. Semua waris atau sesiapa yang akan berhak menerima pusaka itu berhak dalam pengurusan harta pusaka yang belum diagihakan itu. Pihak lain yang berhak mengurusakan harta pusaka itu ialah sesiapa yang diamanahkan untuk menguruskan harta itu oleh si mati atau ahli waris.

Apakah keutamaan untuk digunakan harta pusaka itu? Adakah semua bentuk harta perlu difaraidkan? Ya. Semua harta atau sesuatu yang bernilai perlu difaraidkan.

Urusan pembahagian harta pusaka untuk difaraidkan perlu mengikut aturannya. Faraid itu proses yang paling akhir sekali. Sebelum sampai ke faraid kena melalui proses pentadbiran dan pengurusan harta pusaka terlebih dahulu.

Keutamaan menggunakan harta pusaka itu perlu mengikut tertib yang perlu dibayar atau diserahkan kepada yang layak:
- Belanja pengebumian.
- Selesaikan hutang si mati.
- Laksanakan wasiat jika ada (wasiat kepada bukan waris).
- Laksanakan hibah jika ada.
- Selesaikan urusan tuntutan harta sepencarian oleh isteri terlebih dahulu.
- Kos pengurusan termasuklah perbelanjaan yang berkaitan dalam menguruskan pusaka.

Apabila sudah selesai segala urusan tersebut, maka bakinya barulah boleh difaraid.

Bahagian anak bawah umur, ibunya boleh jadi pentadbir dan pemegang amanah. Tugas pentadbir termasuklah menguruskan bahagian anak bawah umur tersebut untuk urusan belanja harian, makan minum, urusan persekolahan dan sebagainya.

Tidak semestinya kena tunggu 18 tahun baharu boleh digunakan harta itu. Umur 18 tahun adalah untuk proses tukarnama dari nama pentadbir kepada nama anak, terutama berkaitan hartanah. Jika harta dalam bentuk wang, boleh terus dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama anak biarpun belum mencapai usia 18 tahun. Syarat umur 18 tahun adalah ditetapkan oleh undang-undang negara.

Berilah perhatian dalam urusan harta anak yatim. Dosa besar sesiapa yang makan harta anak yatim.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)” (Surah An-Nisa, ayat 10)

No comments:

Post a Comment