Friday 30 October 2020

WANITA BERILMU MENDAPAT PENGIKTIRAFAN TINGGI

  
Sesuai dengan keperluan untuk mengakat martabat wanita pada kedudukan lebih tinggi, Islam turut mewajibkan wanita agar menutup ilmu. Ia jelas membuktikan pemilikan ilmu yang tinggi diperlukan di kalangan setiap Muslim tanpa membezakan jantina.  
 
Hadis diriwayat Ibnu Majah bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap lelaki dan perempuan.” 
 
Ilmu dan kebijaksanaan adalah kuasa yang memberi kebaikan kepada semua. Justeru, sesiapa juga, tidak kira lelaki atau wanita yang berilmu hendaklah dijadikan rujukan atau pemimpin dalam bidang berkenaan. 
 
Rasulullah menyedari tahap keilmuan isterinya Aisyah yang banyak mempelajari dan memerhati perbuatan Rasulullah berkaitan hukum agama dan adab-adab sebagai seorang Islam. Oleh itu, Rasulullah membenarkan para sahabat menerima atau mempelajari sesuatu daripada Aisyah.  
 
Wanita juga pernah menyertai peperangan bersama-sama Rasulullah yang bertugas sebagai jururawat sesuai dengan kemampuan fizikal, kemahiran dan pengalaman dalam melaksanakan tugas-tugas itu.  
 
Di negara kita, sumbangan wanita kepada kemajuan negara amat ketara. Wanita turut berganding bahu meniup semangat ketika menuntut kemerdekaan. Beberapa tokoh politik wanita turut mewarnai kepimpinan negara sejak negara mula merdeka. 
 
Kini, wanita di negara kita semakin ke hadapan memainkan peranan semakin kompleks mengisi kemajuan negara. Mereka seiring dengan lelaki menyahut cabaran negara. Dengan kata lain, wanita bukan sekadar pembantu, bahkan menjadi peneraju dalam banyak bidang kerjaya. 
 
Wanita Islam Malaysia semakin ramai menonjol mencapai pengiktirafan yang tinggi. Mereka dilantik menjadi menteri, gabenor Bank Negara, ketua pengarah Agensi Angkasa Kebangsaan, ketua hakim negara, ketua setiausaha kementerian, naib canselor universiti, hakim mahkamah tinggi, serta banyak lagi jawatan penting kerajaan.  
 
Peluang pekerjaan untuk wanita terbuka luas hasil pencapaian pendidikan yang baik. Wanita mampu berbangga kerana telah mampu keluar daripada kepompong kolot masyarakat dahulu yang menganggap wanita hanya sesuai berada di dapur. Wanita moden berlumba-lumba mencari rezeki dan tidak hanya berguntung kepada lelaki. 
 
Sesuatu yang amat membanggakan kaum wanita, kira-kira 40 peratus guna tenaga di negara kita disumbangkan oleh wanita. Hakikat sumbangan penting wanita kepada kemajuan negara tidak mampu disembunyikan. Wanita bukan saja menyumbang dalam kuantiti, tetapi juga kualiti. 
 
Justeru, kerajaan memberi jaminan untuk terus menambah bilangan wanita memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Matlamat kini, wanita disarankan untuk merebut peluang mengisi 30 peratus jawatan penting sebagai penggubal dasar dan penentu keputusan dalam kerajaan. 
 
Namun, dalam keghairahan untuk mencapai kejayaan, wanita tidak seharusnya meninggalkan fitrahnya. Wanita tetap wanita yang menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Sebesar mana jawatan yang disandang, wanita tetap perlu mentaati suami. Malah kejayaan seorang wanita adalah disokong oleh lelaki bergelar suami.  
 
Juga, usaha mengejar impian tidak harus dijadikan alasan wanita tidak mahu berumahtangga. Hal demikian sebenarnya cuba mengubah fitrah manusia.  
 
Rasulullah amat tidak menyukai kepada umatnya yang tidak mahu berkahwin. Rasulullah menjelaskan bahawa sesiapa yang tidak mahu berkahwin, maka orang itu adalah bukan di kalangan umat baginda.  
 
Justeru, wanita sepatutnya merebut peluang yang ada, tetapi bukan mengubah apa yang sepatutnya dilakukan sebagai seorang wanita.   
 
Gambar: Pantai Nusuk, Kampung Tanjung Kuala Sabak. Sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment