Monday 4 October 2021

ORIENTALIS SENTIASA SERANG PEMIKIRAN UMAT ISLAM

   
Menurut Edward W. Said dalam bukunya Orientalism, orientalis merujuk kepada sesiapa sahaja khususnya orang Barat yang mengajar, menulis atau mengkaji tentang hal ehwal Timur. 
 
Dalam pengertian khusus, orientalis adalah merujuk kepada pemikir dari Barat yang melakukan kajian berkaitan hal ehwal Timur dan Islam, sama ada dengan tujuan ilmiah atau atas kaitan agama dan politik. 
 
Kajian itu meliputi segenap aspek kehidupan dari sejarahnya, ekonomi, sosial, budaya dan sebagainya. Mereka turut mengkaji sejarah permulaan Islam, sirah Nabi Muhammad, al-Quran dan hukum-hukum berkaitan Islam. 
 
Dengan kata lain, jika dilihat pada satu sudut, para orientalis dilihat lebih mahir dan mengetahui mengenai Islam lebih daripada yang mampu dikuasai oleh orang Islam sendiri. Ada di kalangan orientalis yang hafal al-Quran biarpun tidak memeluk agama Islam. 
 
Namun, kita tidak perlu berterima kasih kepada orientalis, biarpun tidak menafikan ada sumbangan berharga diberikan golongan ini terhadap Islam secara keseluruhannya. Ini kerana di sebalik sumbangan itu, terlalu banyak orientalis yang tidak jujur dalam kajian dan disiplin keilmuan. 
 
Orientalis telah sekian lama menyerang agama Islam melalui tulisan mereka. Serangan ini adalah dalam pelbagai bentuk termasuklah hadis. Mereka memutarbelik hasil kajian yang diperoleh dengan memberi gambaran negatif terhadap Islam. 
 
Mereka sengaja membuat rumusan dari sudut negatif biarpun tahu perkara sebenarnya adalah kebaikan yang sepatutnya ditonjolkan. 
 
Sesungguhnya, orang kafir tidak akan membantu atau mendatangkan kebaikan kepada Islam. 
 
Firman Allah bermaksud: "Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu)." (Surah al-Baqarah, ayat 120) 
 
Hubungan awal antara orientalisme dan kristianisasi dikatakan sangat erat sejak abad ke-13 Masihi. Mubaligh Kristian khususnya ke Timur sangat digalakkan mempelajari bahasa dan budaya hidup Muslim bagi memudahkan pencapaian misi mereka. 
 
Malah, di peringkat awal, boleh dikatakan Kristian menjadi pendorong kepada gerakan ini. Gerakan orientalisme ini terdapat pelbagai tujuan. Ia meliputi keagamaan, akademik, perniagaan dan politik. 
 
Usaha keras orientalis untuk memesongkan pemikiran orang Islam agak berjaya.  Di kalangan ilmuan Islam sendiri ada yang terpengaruh atau berkiblatkan kepada orientalis secara membabi buta. Mereka menjadikan kajian orientalis untuk memperkukuhkan hasil kajian sendiri yang tidak seberapa. 
 
Dengan kata lain, mereka menjadi pak turut kepada apa yang diperkatakan oleh orientalis. Dari satu sudut, kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka sebenarnya lebih berbahaya daripada apa yang diungkapkan oleh orientalis sendiri. 
 
Ini kerana pada pandangan orang kebanyakan yang tidak mengetahui maklumat asal kajian itu akan mengatakan apa yang dirumuskan oleh pengkaji Islam itu dianggap benar-benar dibuat oleh pengkaji itu sendiri yang sudah tentunya dikatakan atas roh keilmuan Islam. 
 
Antara faktor mengapa ini berlaku ialah kejahilan dan ketidakupayaan mereka merujuk sumber warisan Islam yang dihasilkan oleh para ilmuwan Islam sendiri.  Lebih parah lagi apabila sarjana Islam terpaksa bergantung kepada sumber asal yang dihasilkan oleh orientalis. 
 
Ini kerana banyak manuskrip tentang Islam diperoleh atau tersimpan di perpustakaan di negara-negara Barat berbanding di negara Islam sendiri. 
 
Ini berlaku semasa era penjajahan dulu banyak manuskrip Islam dibawa ke negara Barat dan seterusnya dikembangkan pula melalui kajian yang dibuat oleh orientalis. 
 
Selain itu, terdapat sarjana Islam membebaskan diri mereka daripada pengaruh agama atas alasan untuk mencapai objektiviti akademik. Kononnya mereka melakukan kajian secara ikhlas dan adil demi mencari kebenaran. 
 
Sikap ini lebih membawa padah apabila mereka gagal mengekalkan atau mengamalkan etika kajian, sebaliknya lebih terpengaruh dengan kajian yang telah dibuat oleh orientalis.

No comments:

Post a Comment