Friday 22 September 2023

PULAU JAMBONGAN, SABAH ADA PANTANG LARANG

 
Pulau Jambongan terletak di pantai utara Sabah. Ia merupakan pulau yang terbesar terdapat di Sabah. Pulau Jambongan terletak di Teluk Paitan dalam daerah Beluran, Bahagian Sandakan.
 
Titik aras tertinggi di pulau ini adalah Bukit Buli Gantungan, tingginya kira-kira 156 meter dari aras laut. Terdapat beberapa buah kampung antaranya ialah Kampung Limau-limau, Kampung Malalin dan Kampung Bahanan, Kampung Sharif, Kampung Tawakal, Kampung Babago dan Kampung Hujung. 
 
Untuk ke Pulau Jambongan boleh melalui jalan air Sungai Kanibongan. Perjalanan mengambil masa dalam 45 minit atau sejam bergantung kepada cuaca untuk sampai ke Kampung Malalin.
 
Jumlah penduduk lebih 5,000 penduduk yang sebahagian besarnya adalah dari suku kaum Bajau dan Suluk.
 
Ada satu pantang larang jika berkunjung ke Pulau Jambongan. Seseorang perlu mematuhi pantang larang syarat ditetapkan. Pantang larang itu ialah tidak boleh membakar tangkapan laut iaitu kima, udang, ketam dan belangkas untuk dimakan.
 
Bagaimanapun, semua hidupan laut itu sekiranya direbus atau dimasak terlebih dahulu sebelum dibakar untuk dimakan, ia tidak mendatangkan masalah.
 
Sesiapa sahaja pengunjung ke pulau berkenaan perlu mematuhi syarat itu yang didakwa dimeterai melalui “perjanjian” dengan 'empat lembaga halus' ketika penduduk membuka perkampungan di pulau terbabit suatu ketika dulu.
 
Penduduk percaya mereka yang melanggar syarat berkenaan boleh mendapat musibah iaitu sakit antara seminggu hingga 10 hari.
 
Pulau berkenaan mula didiami sejak penghujung tahun 1930-an iaitu ketika era North Borneo di bawah penjajahan British.
 
Sebahagian besar penduduk mencari rezeki sebagai nelayan, selain menjalankan kerja kampung serta ada juga bekerja di ladang dan kilang kelapa sawit.
 
Pulau berkenaan memiliki pelbagai kemudahan termasuk sekolah, dewan serbaguna, klinik desa, balai polis, pos Pasukan Gerakan Am dan pos tentera.

Gambar - Kampung Malalin
 

No comments:

Post a Comment