Sunday 19 November 2017

Malaikat bantah Adam dilantik khalifah

Ketika Allah mula menyatakan ingin menciptakan Adam dan dilantik sebagai khalifah di muka bumi, maka usul itu dibantah oleh para malaikat. Bantahan malaikat tersebut bukan tanda ingkar, tetapi menzahirkan pendapat mereka tentang siapa lebih layak. 

Malaikat merasakan dirinya lebih layak bagi mengelak kemungkinan berlaku lagi kemusnahan di muka bumi seperti dilakukan oleh al-Bun. Malaikat mendakwa dirinya dari jenis hamba yang taat dan tidak mungkin melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah.

Allah berfirman maksudnya: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; sesungguhnya Aku ingin menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Maka mereka (malaikat) berkata: Mengapa Engkau ingin jadikan (khalifah) di muka bumi itu orang yang membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 30).

Namun, Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa menciptakan apa diingin-Nya. Allah tetap mencipta Adam untuk dilantik sebagai khalifah di muka bumi. Maka, Allah memanggil seluruh malaikat dan jin untuk sujud (menghormati) Adam. Biarpun pada mulanya malaikat membantah, tetapi sebagai hamba yang taat, semua malaikat sujud kecuali iblis.

Iblis enggan sujud kepada Adam kerana merasakan dirinya lebih mulia dan lebih utama dan agung daripada Adam. Justeru, tidak wajar baginya sujud kepada Adam yang dianggap lebih rendah darjatnya. 

Iblis merasakan dirinya lebih mulia disebabkan dijadikan daripada bahan lebih mulia, yakni api. Sedangkan Adam diciptakan daripada tanah lumpur yang berbau.

Tambahan, iblis terlebih dahulu dicipta dan pernah dilantik mengetuai angkatan memerangi al-Bun, dan ternyata dirinya hebat berjaya menjalankan tanggungjawab itu. Bahkan, iblis telah banyak melakukan ibadat dan ketaatan kepada Allah sebelum itu. Secara lojiknya, iblis berpendapat dialah yang layak dan sepatutnya menjadi khalifah di muka bumi.      

Keengganan dan bantahan iblis diceritakan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Allah berfirman: Apakah yang menghalangmu untuk sujud kepada Adam di kala Aku menyuruhmu? Iblis menjawab: “Bukankah aku lebih mulia daripada dia (Adam). Aku dicipta daripada api, sedangkan dia diciptakan daripada tanah.” (Surah al-Araf, ayat 12).

Kejadian manusia daripada tanah dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.” (Surah al-Hijr, ayat 26).

Sikap iblis yang sombong enggan sujud kepada Adam seperti diperintahkan telah menyebabkan dia tergolong hamba yang ingkar dan terkutuk sepanjang hayat. 

Hal ini dijelaskan Allah dalam firman bermaksud: “Keluarlah kau dari sini. Kau orang yang terkutuk. Kau akan Aku kutuk terus sampai hari pembalasan.” (Surah Shad, ayat 77 - 78).

Iblis yang angkuh sanggup menerima segala pembalasan itu. Dendamnya terhadap Adam amat kuat. Lantas, iblis memohon kepada Allah agar dirinya dipanjangkan usia sehingga hari kiamat bertujuan untuk menyesatkan Adam dan seluruh cucu cicit Adam.  

No comments:

Post a Comment