Friday 24 November 2017

Menanti ketibaan Ramadan

Kedatangan Ramadan yang penuh keberkatan pastinya paling dinanti-nantikan seluruh umat Islam seluruh dunia. Ini kerana penghulu segala bulan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kita memperbanyakkan amalan, menahan hawa nafsu, lapar dan dahaga tetapi juga melatih kita bersederhana dalam serba serbi.

Namun, seakan menjadi kebiasaan masyarakat kita, apabila tiba bulan Ramadan tabiat berbelanja secara berlebihan terutama ketika membeli juadah berbuka dilihat begitu ketara. Apa tidaknya, hampir semua juadah di pasar Ramadan terasa mahu dibeli walaupun pada akhirnya tidak habis dimakan dan dibazirkan begitu saja.

Ramadan adalah bulan paling sesuai mendidik diri seseorang itu supaya sentiasa insaf dan mengawal diri serta hawa nafsu. Dalam menjalani kehidupan seharian, kejayaan dan kenikmatan hidup pasti memihak kepada mereka yang sentiasa beringat dan berhati-hati ketika berbelanja bagi mengelak pembaziran terutama melibatkan soal makanan.

Dalam Islam sendiri setiap umatnya disuruh supaya bersederhana, tidak bermegah-megah dengan apa yang ada dan lebih pentingnya, kualiti hidup perlu ditingkatkan walau dalam apa keadaan sekalipun apatah lagi dalam senario yang dihadapi masyarakat hari ini, termasuk kenaikan harga barang.

Ramai yang menganggap bulan puasa ialah bulan merajakan nafsu makan. Lihat sahaja di bazar-bazar Ramadan, aneka lauk pauk dan kuih muih yang dijual mengundang setiap individu mengunjunginya saban petang menjelang berbuka.

Aneka juadah itu sudah tentu membangkitkan nafsu makan dan mendorong seseorang menjadi tamak. Keinginan untuk membeli itu dan ini yang sudah tentu semuanya kelihatan enak dan menarik belaka. Namun, setakat manakah kemampuan kita menghabiskan juadah yang dibeli?’’

Amalan tersebut akibat kegagalan seseorang itu mengawal hawa nafsu yang beraja di hati. Jika erti Ramadan itu sendiri dihayati dan difahami tidak mungkin perkara seumpama itu berlaku.

Sememangnya bazar Ramadan menjual pelbagai jenis juadah enak yang membuatkan kita rambang mata. Langkah terbaik ialah kita membuat perancangan awal mengenai jenis juadah apakah yang ingin kita hidangkan kepada keluarga semasa berbuka puasa nanti.

Jika pada bulan biasa menjadi kelaziman seseorang ke kantin untuk menikmati sarapan, makan tengah hari atau minum petang, tetapi berbeza sepanjang Ramadan di mana aktiviti tersebut tidak dilakukan dan sekali gus kos perbelanjaan dapat dikurangkan.

Kita hanya memikirkan kos untuk berbuka puasa dan bersahur sahaja. Jika benar-benar dipraktikkan, insya-Allah tidak akan timbul masalah sesetengah daripada kita yang mendakwa kos yang terpaksa dikeluarkan sepanjang Ramadan lebih tinggi daripada bulan biasa.

Apakah yang penting kebijaksanaan seseorang mengawal perbelanjaan sepanjang bulan Ramadan. 

No comments:

Post a Comment