Friday 18 September 2020

KISAH MENARIK DILAKUKAN PADA MALAM JUMAAT

 
Malam ini malam Jumaat, beritahu Mak Limah kepada suaminya Pak Ali. Pak Ali hanya tersenyum dan faham apa yang diberitahu Mak Limah. Pak Ali faham tugas yang perlu dilakukan olehnya pada setiap malam Jumaat. 
 
Tugas itu sudah menjadi rutin Pak Ali dan Mak Limah pada setiap malam Jumaat. Jika tidak dilakukan seperti rasa tidak sempurna pula malam Jumaat minggu itu. 
 
Menjadi kebiasaan Pak Ali dan Mak Limah akan mengikuti kelas agama pada setiap malam Jumaat di masjid di Kampung Padang Bongor. 
 
Intro kisah Pak Ali dan Mak Limah itu tentu ramai ingin terus membacanya. Namun, setakat itu sahajalah. Tidak larat nak teruskan cerita Pak Ali dan Mak Limah semasa mendengar ceramah. 
 
Sebenarnya, kisah malam Jumaat sering disebut dan diingati. Malam penuh istimewa, berkat dan penting. Hari Jumaat penghulu kepada hari-hari lain. Macam-macam gurauan malam Jumaat. 
 
Kisah suami isteri malam Jumaat paling popular dan diperkatakan. Suami kena balik awal malam Jumaat dan ada yang langsung tidak keluar rumah kerana kena 'kurung' atau 'rantai' oleh isteri. 
 
Dalam kalendar Islam, permulaan malam Jumaat ialah apabila terbenam matahari hari Khamis atau apabila masuk waktu Maghrib. Permulaan hari atau tarikh dalam kalendar Islam tidak bermula pada pukul 12.00 malam seperti kalendar masihi.  
 
Dalam masyarakat Melayu ada beberapa perkara yang selalu mereka ingat berkaitan malam Jumaat. Selain dari membaca Yasin, mereka selalu bercerita tentang hantu yang kononnya suka muncul pada malam Jumaat. Sebab itu, jika ada sesuatu yang pelik berlaku pada malam Jumaat, maka terus dikaitkan dengan hantu. 
 
Satu lagi ialah kepercayaan bahawa sunat untuk suami isteri melakukan hubungan intim pada malam Jumaat. Maka digelarkan malam Jumaat sebagai malam kaum ibu atau hendak pakai isteri atau suami. 
 
Sekarang ini, gurauan mengenai malam Jumaat selalu dijadikan bahan di laman sosial seperti di Muka Buku dan WhatsApp. Tetapi biasanya lebih kepada soal hubungan suami isteri. 
 
Jarang sangat orang nak ingatkan tentang kelebihan malam Jumaat untuk menambahkan ibadat. 
 
Baginda Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Di dalamnya Allah melipatgandakan kebaikan, menghapuskan keburukan, mengangkat darjat, mengijabah doa, menghilangkan duka dan menunaikan segala hajat-hajat yang besar.    
 
Imam Jaafar As-Shadiq berkata: "Malam Jumaat dan Hari Jumaat mempunyai hak, maka janganlah sia-siakan kemuliaannya, jangan mengurangi ibadah. Dekatkan diri dengan Allah SWT dengan amal-amal soleh, tinggalkan semua yang haram. Kerana di dalamnya Allah SWT melipatgandakan kebaikan, menghapuskan keburukan dan mengangkatkan darjat." 
 
"Hari Jumaat sama dengan malamnya, jika kamu mampu, hidupkanlah malam dan siangnya dengan doa dan solat. Kerana di dalamnya Allah SWT mengutuskan para malaikat ke langit dunia untuk melipatgandakan kebaikan dan menghapuskan keburukan. Sesungguhnya Allah SWT Maha Luas ampunannya dan Maha Mulia." 
 
Saidina Ali bin Abu Talib berkata: "Sesungguhnya Allah SWT memilih hari Jumaat lalu menjadikan harinya sebagai hari raya dan memilih malamnya sebagai malam raya. Di antara keistimewaan adalah orang yang memohon hajatnya kepada Allah, maka Allah SWT mengijabahkannya." 
 
"Satu bangsa yang sudah layak menerima azab lalu mereka memohon pada malam dan hari Jumaat, Allah SWT pasti akan menyelamatkan mereka darinya. Tidak ada sesuatu pun yang Allah SWT tentukan dan utamakan kecuali Ia menentukannya pada malam Jumaat. Kerana itu malam Jumaat adalah malam yang paling utama dan harinya adalah hari yang paling utama." 
 
Gunalah kelebihan malam Jumaat sebaik-baik. Penuhi dengan perkara baik dan elak daripada melakukan amalan buruk. Berilah penghormatan sewajarnya kepada malam dan hari Jumaat. Ingatan kepada kaum lelaki jangan ponteng sembahyang Jumaat. Jangan hanya ingat malam Jumaat dan lupa tugas pada tengah hari Jumaat.

No comments:

Post a Comment