Wednesday 27 October 2021

KAMPUNG SOKOR LOKASI PENGELUAR EMAS

  
Kampung Sokor salah satu kampung terletak di jajahan Tanah Merah. Kedudukan Kampung Sokor berhampiran Sungai Kelantan. Jarak Kampung Sokor dengan bandar Tanah Merah kira-kira 30 kilometer, manakala dari Kota Bharu kira-kira 80 kilometer. 
 
Nama Kampung Sokor diambil bersempena nama pokok sokor iaitu spesies pokok hutan yang jarang ditemui. Ketika membersihkan hutan untuk dijadikan penempatan, peneroka awal kampung telah tertarik dengan keunikan sejenis pokok hutan berbuah dan tidak pernah dijumpai mereka sebelum ini di tempat asal mereka.
 
Kampung Sokor dibuka sejak tahun 1960-an oleh penduduk dari kampung-kampung sekitar Tanah Merah dan Jeli. Setelah mudik di sepanjang Sungai Kelantan, mereka akhirnya menjumpai sebuah kawasan yang subur dan sesuai untuk dijadikan kawasan penempatan serta pertanian. 
 
Disebabkan air Sungai Kelantan akan melimpah ke tebing setiap kali musim banjir melanda, penduduk telah membina rumah di kawasan tinggi. 
 
Pada tahun 2014, Kampung Sokor menjadi antara lokasi paling teruk dilanda Banjir Kuning yang turut dialami majoriti kawasan di Kelantan. 
 
Selain Sungai Kelantan sebagai sungai utama berhampiran kampung tersebut, terdapat satu sungai kecil yang dikenali Sungai Sokor. 
 
Di kawasan Kampung Sokor dan kawasan sekitarnya ditemui mineral berharga iaitu emas. 
 
Perlombongan emas telah pun diusahakan oleh sebuah syarikat dari China iaitu China Nonferrous Metal Mining (Group) Co. Ltd (CNMC). CNMC merupakan sebuah konglomerat dari China yang terlibat dengan perlombongan emas di seluruh dunia. 
 
Syarikat CNMC Holding itu mula beroperasi di Kelantan untuk cari gali emas pada tahun 2007, setelah majlis perjanjian usaha sama berhubung perkara itu dimeterai dengan Kelstone Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebelum itu. 
 
Cari gali emas kini antara sumber pendapatan negeri Kelantan.

No comments:

Post a Comment