Friday 26 November 2021

MASJID AL AHMADI MUKIM TELUK RENJUNA

  
Penduduk di beberapa pulau di delta Sungai Kelantan di bawah pentadbiran jajahan Tumpat secara mukimnya adalah termasuk dalam Mukim Teluk Renjuna. 
 
Nama Mukim Teluk Renjuna adalah berbeza dengan Pulau Renjuna. Pulau Renjuna adalah sebahagian daripada Mukim Teluk Renjuna. 
 
Pulau lain yang termasuk dalam Mukim Teluk Renjuna ialah Pulau Pantai Haji Nik Mat, Pulau Seratus, Pulau Beluru, Pantai Suri, Pulau Aur, Pulau Tongkang, Pulau Pantai Baru dan beberapa pulau lain. 
 
Jumlah keseluruhan penduduk mendiami gugusan kepulauan tersebut kira-kira 2000 orang. 
 
Sitem pentadbiran di Kelantan, dalam setiap mukim akan terdapat sebuah masjid yang dikenali masjid mukim yang bertindak sebagai masjid untuk dijadikan tempat bersembahyang Jumaat dan diuruskan oleh imam dan individu yang dilantik oleh Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). 
 
Masjid Mukim Teluk Renjuna terletak di Pulau Renjuna. Masjid tersebut juga dikenali dengan nama Masjid Al Ahmadi, menjadi medan penyatuan penduduk di kepulauan berkenaan. 
 
Masjid Al Ahmadi banyak menganjurkan program keagamaan, termasuk menjemput penceramah dan pakar agama dari kawasan luar. 
 
Penduduk di pulau tidak berdepan masalah untuk menghadiri program di masjid kerana ia terletak tidak jauh dari jeti, selain menggunakan laluan bersimen yang terdapat di pulau berkenaan.  
 
Selain itu, penduduk dari beberapa pulau juga boleh menggunakan motosikal melalui laluan kampung yang dihubungkan dengan jambatan antara pulau. 

 



 

No comments:

Post a Comment