Tuesday 25 April 2023

PERLU LAYAN TETAMU DATANG RUMAH

 
Berkunjung atau menziarahi ke rumah saudara mara, sahabat, jiran dan sesiapa sahaja ada kebaikannya. Amalan itu dapat mengeratkan hubungan silaturahim, membina semangat peduli, tolong menolong dan saling menghormati.
 
Memandangkan ada nilai kebaikan melalui amalan ziarah, maka ia sangat dipandang tinggi dalam Islam. Justeru, apabila tetamu datang ke rumah, disunatkan untuk memuliakan tetamu selagi tidak ada kekangan dan kesukaran bagi tuan rumah.
 
Sesungguhnya betapa dituntutnya memuliakan tetamu sehingga Rasulullah SAW mengaitkan ia sebagai sifat orang yang beriman.
 
Nabi SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia menyambung tali silaturahim, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaknya dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis riwayat Bukhari)
 
Melayan tetamu hendaklah dengan tidak membeza-bezakan kedudukan tetamu itu dari segi kekayaan, pangkat dan keturunan.
 
Kata Al-Munawi: “Iaitu dia hendaklah memuliakan tetamunya sama ada kaya atau miskin. Sambut tetamu dengan wajah yang ceria, beri hadiah dan membalas ziarah tersebut dengan menziarahi dan bertandang ke rumah tetamu tersebut.” (Rujuk Faidh Al-Qadir (6/209)
 
Jika berkemampuan, hendaklah melayan tetamu itu dengan memberinya makan dan minum, juga menyediakan tempat menginap jika diperlukan.
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir hendaknya ia memuliakan tamunya dan menjamunya sehari semalam, dan tidak boleh baginya (tamu) untuk menginap di rumah saudaranya hingga (saudaranya) merasa terganggu. Masa bertamu itu hanya tiga hari, dan apa yang diberikan untuk tamunya setelah tiga hari maka baginya adalah sedekah." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
 
Menurut Ibnu Kathir, imam Ahmad dan kebanyakan para ulama mengatakan wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah, iaitu 3 hari 3 malam.
 
Manakala Imam Al-Nawawi pula berkata, melayan tetamu adalah sunah. Jika seseorang bertandang ke rumahnya dan tidak ada mudarat baginya, sunat baginya untuk melayan tetamu tersebut.

No comments:

Post a Comment