Wednesday 8 December 2021

SEBAB REZEKI MENJADI SUKAR

Rezeki ada di mana-mana. Ada yang terhidang di depan mata, tetapi perlu berani untuk merebutnya. Justeru perlu ada usaha dan keberanian untuk mendapatkannya. 
 
Apakah sebenarnya makna rezeki? Rezeki ialah apa yang memberi manfaat bagi kita. Ia dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Dengan kata lain, ia tidak semata-mata dalam bentuk pendapatan atau kewangan. 
 
Kita tidak perlu bimbang tentang reseki. Setiap kelahiran dan setiap ciptaan lahir bersama jaminan rezeki agar kita tidak perlu terlalu bimbang soal rezeki. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6). 
 
Dengan keyakinan semua rezeki ditetapkan Allah SWT, ia boleh menyelamatkan kita daripada kebimbangan. Terlalu bimbang soal rezeki boleh menjadi sebab seseorang terputus hubungan dengan Tuhan. 
 
Namun, setiap rezeki tidak datang bergolek atau melayang tanpa diusahakan untuk mendapatkannya. Kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. 
 
Berusahalah mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing. Paling penting ialah tentukan hanya berusaha secara halal dan menjauhkan apa yang diharamkan. 
 
Bimbangkan rezeki menjadi sebab seseorang terhalang daripada melakukan banyak kebaikan misalnya takut berkahwin dan takut memiliki anak. 
 
Allah SWT menguji kita dengan menjadikan rezeki ini ada yang baik, ada yang buruk, ada yang haram dan ada yang halal. 
 
Ini bermakna, Allah SWT memerintahkan kita berusaha mencari rezeki halal dan berusaha mengelakkan rezeki yang haram. 
 
Begitulah keindahan Islam yang selalu mengajar keseimbangan antara tawakal dan usaha, dunia dan akhirat. 
 
Allah SWT juga mengajar kita keutamaan dalam berusaha. Firman-Nya: “Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagiamu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak akan menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qashash, ayat 77). 
 
Allah SWT menyuruh berusaha mendapatkan akhirat dan jangan melupakan dunia. 
 
Semasa kita bekerja, niatkan kerana Allah SWT. Lakukannya bersungguh-sungguh dan rasai satu tanggungjawab. 
 
Justeru, kerja itu menjadi ibadat dan menjadi bukti di hadapan Allah SWT bahawa kita mementingkan akhirat.

No comments:

Post a Comment