Thursday 21 January 2021

UMBUT KELAPA SEDAP DIMAKAN

Budak-budak dahulu tidak berpeluang makan macam-macam makanan segera seperti kanak-kanak sekarang. Masa dahulu makanan yang tersedia biasanya apa yang ada secara semulajadi di sekeliling kampung seperti buah-buahan dan bahagian pokok seperti daun dan umbut. 
 
Antara makanan yang dikategori istimewa pada waktu dahulu ialah umbut kelapa. Peluang untuk makan umbut kelapa bukan datang selalu. Kena tunggu ada orang menebang pokok kelapa. 
 
Memang jaranglah orang hendak tebang pokok kelapa yang jangkamasa menghasilkan buah berterusan sehingga puluhan tahun.   
 
Akan ada orang menebang pokok kelapa hanya jika pokok itu semakin meninggi dan boleh membahayakan jika tumbang. Jadi, sebelum ia tumbang sendiri akibat ribut, elok ditebang agar tidak mendatangkan bahaya seperti berkemungkinan menimpa bahagian rumah. 
 
Pokok kelapa juga ditebang kalau ada hendak dibuat rumah baharu di tapak tumbuhnya pokok kelapa itu. 
 
Kalau alasan lain, memang jarang orang hendak tebang pokok kelapa. Jadi, bayangkan memang sukar untuk berpeluang dapat makan umbut kelapa. 
 
Jadi, jika ada pokok kelapa ditebang, budak-budak akan datang berkerumun untuk melihatnya, mana tahu ada peluang untuk dapat makan umbut kelapa. 
 
Disebabkan terlalu banyak yang datang, ada yang menebang pokok kelapa akan tinggalkan dahulu. Ia akan diambil pada masa lain. 
 
Atau mereka akan memotong bahagian atas tanpa sampai pada bahagian umbut yang boleh dimakan. Kerja mendapatkan umbut akan dilakukan pada masa lain atau di rumah. 
 
Memang sukar untuk mendapat peluang makan umbut kelapa pada waktu itu. Tetapi sekarang ini, budak-budak tidak lagi berebut hendak makan umbut kelapa, bahkan tidak tahu boleh dimakan. 
 
Kalau diberikan kepada kanak-kanak, mereka akan cuba makan sedikit sahaja. Tidak sedap kata mereka. Memanglah... lidah mereka lebih mudah menerima rasa buah dari luar negara atau makanan lain yang macam-macam rasa. Setakat umbut kelapa itu tidak mainlah. 
 
Umbut ialah bahagian pangkal pucuk batang pokok jenis palma seperti kelapa, pinang, kelapa sawit, kabung, pinang, nipah dan lain-lain. Umbut bahagian batang yang masih lembut dan boleh dimakan. 
 
Memandangkan ia bahagian yang boleh dimakan, bahkan sedap pula, maka banyak orang sanggup bersusah payah untuk mengumbut (mengambil) umbut. 
 
Umbut boleh dimakan mentah. Rasanya kelat manis (berlainan mengikut jenis pokok). 
 
Selain itu, umbut biasanya digulai atau dibuat acar. Masakan umbut biasanya dijadikan hidangan istimewa di majlis kenduri kahwin. Mereka sanggup masuk hutan (untuk mencari pokok tertentu) atau menebang pokok kelapa untuk mendapat umbut sebagai hidangan tetamu yang hadir. 
 
Proses mendapatkan umbut ialah memotong batang yang masih ditutupi pelepah. Umbut lembut terdapat di dalam bahagian yang masih ditutupi pelepah. Bahagian lembut itu bakal menjadi keras apabila pelepah telah berkembang dan menjadi batang matang apabila pelepah telah gugur.

No comments:

Post a Comment