Tuesday 14 February 2023

BOMBA DAPAT PANGGILAN ANCAMAN LABAH-LABAH

 
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjadi tempat orang ramai mengadu apa sahaja bentuk kecemasan. Ada perkara yang sebenarnya tidak cemas, tetapi dianggap cemas atau ancaman oleh orang ramai.
 
Contohnya, Pasukan A Balai Bomba Bandar Tun Razak terima panggilan kecemasan ancaman labah-labah. Setiap panggilan kecemasan dianggap ‘cemas’ dan memerlukan tidakan segera. Itulah prinsip diamalkan JBPM.
 
Mereka bukanlah pakar dalam semua bidang, tapi cuba berikan yang terbaik kepada masyarakat. Sebelum kehadiran pakar-pakar berkaitan, anggota JBPM akan sampai dahulu untuk tenteramkan keadaan bersama-sama pengadu.
 
Sebaik sahaja panggilan kecemasan diterima, loceng berbunyi, mahu tidak mahu, tugas mereka akan bermula. Mampu atau tidak, ia merupakan perkara kedua, yang penting keselamatan pengadu dan masyarakat diutamakan dahulu.
 
Justeru, ketika ada yang menolak sesuatu tugas, anggota JBPM tetap terima biarpun skop tugasnya tiada. Banyak hati dan perasaan yang perlu dijaga.
 
Kalau hendak dikira, labah-labah sahaja. Apa yang hendak dikecohkan. Itu pandangan mereka yang telah biasa dengan labah-labah. Namun, bagi mereka yang tidak pernah ‘bersama’ labah-labah sepanjang hidup mereka, tentu sekali melihat labah-labah berada di dalam rumah dianggap sesuatu ancaman atau mendatangkan bahaya.
 
Kebanyakan gigitan labah-labah tidak mendatangkan kesan bisa kepada manusia, walaupun ia boleh membunuh mangsanya untuk dijadikan makanan. Bisa labah-labah memberi kesan kepada binatang atau serangga kecil.
 
Pun begitu, ada juga jenis labah-labah yang sengatannya mengeluarkan bisa yang boleh membahayakan manusia. Justeru jika tidak tahu atau kenal mana yang boleh mendatangkan bahaya atau tidak, baik anggap semua jenis adalah berbahaya. Itu lebih selamat.
 
Justeru, kalau ada yang membuat panggilan kecemasan apabila ada labah-labah di dalam rumah mereka, itu boleh dianggap sebagai ‘patut’.

No comments:

Post a Comment