Saturday 6 November 2021

JAMBATAN SULTAN YAHYA PETRA

 
Jambatan Sultan Yahya Petra yang menjadi penghubung Kota Bharu dengan Tumpat, melintasi Sungai Kelantan. 
 
Sejarah pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra bermula secara rasmi pada 14 September 1962 apabila Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra ibni Sultan Ibrahim, berangkat menyempurnakan perletakkan batu asas Jambatan Sungai Kelantan (nama asal). 
 
Jambatan ini kemudiannya dinamakan Jambatan Sultan Yahya Petra sempena nama Baginda sendiri. 
 
Dalam titahnya, Baginda berharap pembinaan jambatan tersebut dapat membantu usaha-usaha meningkatkan ekonomi negeri dan taraf hidup rakyat Kelantan. 
 
Jambatan Sultan Yahya Petra merupakan jambatan utama di Kota Bharu, Kelantan merentasi Sungai Kelantan. 
 
Keperluan untuk membina jambatan menyeberangi Sungai Kelantan ketika itu timbul berikutan kesulitan yang dihadapi oleh penduduk di seberang Sungai Kelantan seperti Wakaf Bharu, Tumpat dan Pasir Mas untuk ke Kota Bharu.
 
Ketika itu, penduduk terpaksa menggunakan pengangkutan air seperti feri untuk menyeberangi Sungai Kelantan. Salah satu kemudahan feri beroperasi di antara  jeti berhampiran Padang Merdeka dengan jeti berhampiran Stesen Kereta api Palekbang.
 
Jambatan Sultan Yahya telah dirasmikan pada 17 April 1965. Ia menjadi jalan perhubungan darat yang lebih selesa dan memberi banyak manfaat kepada penggunanya. 
 
Pada tahun 2007, Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra (terletak di kiri dan kanan jambatan pertama) telah dibina dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. 
 
Pembinaan yang menelan belanja sebanyak RM184.4 juta itu telah dibuka sepenuhnya pada bulan Oktober 2013.
 
Gambar: Pemandangan Jambatan Sultan Yahya Petra dari tebing sungai bahagian Tumpat. Gambar dari media maya.

No comments:

Post a Comment