Saturday 28 July 2018

ERTI KEMERDEKAAN YANG DINIKMATI WANITA

Seluruh rakyat di bumi bertuah ini dapat menikmati hasil kemerdekaan dengan perasaan bangga dan bersyukur menjadi rakyat Malaysia. Paling ketara perubahan yang dicapai hasil kemerdekaan ialah penglibatan dan kejayaan golongan wanita dalam semua bidang kerjaya.

Namakan apa sahaja bidang, pasti turut tercatat kejayaan wanita dalam bidang berkenaan. Sejak awal kemerdekaan lagi sudah ada wanita yang dilantik menjadi menteri sebagai pengiktirafan golongan itu dalam memperjuangkan kemerdekaan, khususnya melalui sayap Kaum Ibu (kini Wanita) Umno.

Dalam pendidikan, telah ada wanita yang menjadi Naib Canselor di institusi pengajian tinggi tempatan. Sudah ada wanita yang menjadi setiausaha kementerian, ketua pengarah jabatan, setiausaha kerajaan negeri dan sebagainya. 

Bilangan doktor pakar di kalangan wanita juga semakin bertambah. Wanita juga boleh bermegah mampu mengendalikan syarikat besar yang melibatkan ratusan pekerja dan nilai operasi perniagaan jutaan ringgit.

Semua pencapaian itu sudah pasti tidak menjadi kenyataan jika negara masih dijajah. Penjajah bukan sahaja tidak mahu golongan wanita berjaya, bahkan seluruh rakyat akan terus ditekan supaya berada di bawah kekuasaan mereka. 

Satu lagi sebab mengapa wanita mampu berjaya ialah dasar kerajaan yang tidak mendiskriminasi antara lelaki dan wanita dalam bidang pendidikan serta peluang pekerjaan.

Penglibatan dan kejayaan wanita dalam banyak bidang adalah nikmat kemerdekaan yang perlu dihargai serta berterima kasih di atas dasar kerajaan yang memberi peluang seluas-luasnya kepada wanita untuk turut sama menyumbang tenaga kepada negara.

Sumbangan wanita dalam politik juga semakin dihargai. Sebab itu semua parti politik mempunyai sayap wanita masing-masing. Bahkan, ada parti yang dahulunya mengharamkan calon wanita kini mengambil langkah sebaliknya.

Wanita sepatutnya berbangga memandangkan sekarang ini bilangan wanita yang menjadi pembuat dasar semakin bertambah biarpun jumlah mereka secara relatif masih sedikit.

Seluruh kaum wanita perlu memanfaatkan sepenuh nikmat kemerdekaan dan dasar kerajaan yang diamalkan sekarang ini untuk terus memperbaiki kedudukan serta meningkatkan sumbangakan kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.

No comments:

Post a Comment