Saturday 28 July 2018

NEGARA RUNTUH AKIBAT PERBUATAN RAKYAT SENDIRI

Syukurlah negara kita terus aman dan maju. Keadaan ini perlu dipertahankan selama-lamanya. Namun tidak ada jaminan keadaan aman ini dapat terus dinikmati jika rakyat melakukan tindakan yang boleh mendatangkan keadaan sebaliknya. 

Antara punca berlaku huru hara dalam sesebuah negara ialah sikap rakyat tidak menghormati pemimpin. Perkara ini terkawal di negara kia, namun ia tidak mustahil berlaku jika sikap ekstrem tidak dibendung. 

Cuba kita perhatikan apa yang berlaku di luar negara apabila rakyat tidak menghormati pemimpin dan dasar negara. Sejarah telah merakamkan banyak negara runtuh dan hancur disebabkan tindakan rakyat sendiri. 

Perkara ini berlaku melalui tindakan sepenuhnya oleh rakyat negara itu sendiri, atau ada yang turut melibatkan kerjasama kuasa asing. Kuasa yang jatuh digantikan dengan kuasa baru. Namun, pemimpin baru yang diangkat masih tidak memenuhi keinginan keseluruhan rakyat. Lalu, pemimpin baru itu pula ingin dijatuhkan. 

Tindakan saling menjatuhkan kerajaan yang dibentuk menyebabkan berlaku rusuhan dan perang saudara. Keadaan ini berterusan dalam masa yang lama hingga menyebabkan malapetaka besar berterusan kepada rakyat.   

Kita perlu mengambil pengajaran apa yang berlaku di luar negara di mana negara yang bertukar tampuk pemerintahan secara kekerasan atau tindakan ekstrem tidak akan menikmati suasana aman, bahkan kerajaan baru dibentuk menjadi boneka kepada negara lain.  

Keadaan itu menyebabkan ada pihak lain ingin menjatuhkannya. Fenomina itu merugikan rakyat apabila masa, tenaga dan kewangan lebih banyak dihabiskan dalam proses pemilihan pemimpin, sedangkan tugas kepimpinan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Rakyat Malaysia harus bersyukur proses peralihan kuasa berlaku dengan lancar tanpa sebarang perkara buruk. Bahkan sikap berlapang dada, ikhlas, menghormati kehendak rakyat dijadikan agenda utama dalam proses peralihan kuasa. 

Kedudukan kerajaan yang teguh memudahkan usaha pembangunan negara yang memberi peluang rakyat menikmati kehidupan lebih selesa, selamat dan harmoni.    

Perpecahan wujud berpunca adanya individu dan kelompok yang ingin menguasai sebahagian kelompok lain secara bertentangan dengan kaedah yang biasa diamalkan. Peristiwa perpecahan umat Islam bukan perkara baru, bahkan telah berlaku sebaik kewafatan Rasulullah SAW. 

Perpecahan umat Islam paling ketara berlaku semasa pemerintahan Khalifah Uthman Affan. Peristiwa itu berpunca sikap puak yang dipanggil Khawarij melakukan tindakan menentang kepimpinan Khalifah Uthman. 

Penentangan puak Khawarij berpunca ketegasan Khalifah Uthman tidak menunaikan atau tidak melaksanakan permintaan puak itu. Khalifah Uthman mempunyai alasan kukuh untuk bertindak demikian, berdasarkan kepada apa yang pernah diamalkan Rasulullah SAW dan demi kebaikan keseluruhan penganut agama Islam. 

Namun, puak Khawarij tidak dapat menerima keputusan Khalifah Uthman, lalu berhasrat menguasai tampuk pemerintahan agar dapat melakukan apa yang difikirkan wajar bagi mereka. Mereka merasakan hanya mereka yang betul dan pihak lain salah. 

Cara kotor yang dilakukan puak Khawarij dalam usaha menguasai tampuk pemerintahan ialah menyebarkan propaganda dan fitnah bagi membangkitkan kebencian rakyat terhadap Khalifah Uthman. Kemuncak kegilaan dan sifat buruk puak Khawarij ialah tragedi pembunuhan Khalifah Uthman.

Sikap puak Khawarij melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab berpunca ketaksuban dan mempercayai propaganda yang disebarkan oleh orang Yahudi. Orang Yahudi mengambil kesempatan di atas bibit perpecahan yang mula kelihatan di kalangan penganut Islam ketika itu. 

Puak Khawarij sanggup membelakangkan kepentingan penganut agama Islam yang lain semata-mata ingin mencapai apa yang diingini. Sifat puak Khawarij berdasarkan kepada ketaataan dan mempercayai sepenuhnya apa yang diperkatakan oleh pemimpin, tanpa berfikir mencari kebenarannya atau mempersoalkan lojiknya.

Amalan seperti puak Khawarij masih berterusan sehingga kini yang mana sikap taksub dan membabi buta menyokong pemimpin membawa kepada perpecahan kepada ummah.  

Konsep sanggup melakukan apa saja demi kepentingan kumpulan menjadi asas perjuangan yang kononnya berteraskan Islam menanam fahaman taksub melampau sehingga menolak kehadiran pihak lain, melainkan memberi kepentingan kepada mereka. 

Amalan berpegang kepada sikap sederhana dan sedia bertolak ansur untuk kepentingan bersama harus diterapkan dalam budaya masyarakat Malaysia yang majmuk selaras dengan kehendak ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment