Monday 16 December 2019

HUKUM MAKAN IKAN TANPA DIBUANG PERUT

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Jabir bin Abdullah diceritakan, bahawa Rasulullah SAW pernah mengirimkan suatu angkatan, kemudian mereka itu mendapatkan seekor ikan besar yang sudah menjadi bangkai. lkan itu kemudian dimakannya selama 20 hari lebih. Setelah mereka tiba di Madinah, diceriterakanlah hal tersebut kepada Nabi, maka jawab Nabi:

"Makanlah rezeki yang telah Allah keluarkan untuk kamu itu, berilah aku kalau kamu ada sisa. Lantas salah seorang di antara mereka ada yang memberinya sedikit. Kemudian Nabi memakannya." (Hadis riwayat Bukhari)

Dr Ysof Al-Qaradawi menyebut:
Binatang laut iaitu semua binatang yang hidupnya di dalam air. Binatang ini semua halal, didapat dalam keadaan bagaimanapun, apakah waktu diambilnya itu masih dalam keadaan hidup ataupun sudah bangkai, terapung atau tidak. Binatang-binatang tersebut berupa ikan ataupun yang lain, seperti: anjing laut, babi laut dan sebagainya.

Bagi yang mengambilnya tidak lagi perlu diperbincangkan, apakah dia seorang muslim ataupun orang kafir. Dalam hal ini Allah memberikan keleluasaan kepada hamba-hambaNya dengan memberikan perkenan (mubah) untuk makan semua binatang laut, tidak ada satupun yang diharamkan dan tidak ada satupun persyaratan untuk menyembelihnya seperti yang berlaku pada binatang lainnya.

Firman Allah SWT: "Dialah Zat yang memudahkan laut supaya kamu makan daripadanya daging yang lembut." (Surah an-Nahl, ayat 14)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dihalalkan buat kamu binatang burunan laut dan makanannya sebagai perbekalan buat kamu dan untuk orang-orang yang belayar." ( Surah al-Maidah, ayat 96)

Ulama mazhab Syafii berbeza pandangan berkaitan hukum memakan ikan yang dimasak tanpa dibuang perut dan najisnya. Ulama mazahab lain mengatakan harus.

Walau bagaimanapun menurut Syeikh al-Sayyid Abdul Rahman Ba ‘Alawi al-Hadhrami; Ibn Hajar, Ibn Ziyad, al-Ramli dan lain-lain telah bersepakat mengatakan bahawa apa-apa yang ada dalam perut ikan yang kecil sama ada darah atau najisnya adalah suci dan harus memakannya berserta kotoran tersebut. Sesungguhnya ia tidak dianggap menajiskan minyak (masakan).

Bahkan al-Ramli berpendapat, hukum tersebut berlaku juga kepada ikan yang besar kerana bagi mazhab kita terdapat satu qaul (pendapat) yang kuat mengatakan bahawa ikan tidak mempunyai darah.” (Bughyah al-Mustarsyidin 15).

Menurut al-Bujairimi, kadar yang dikirakan sebagai saiz kecil atau besar adalah berdasarkan uruf. Manakala menurut Ali al-Syabramallisi pula, saiz yang kecil adalah sekadar dua jari dan selebihnya dikirakan saiz besar (I’anah al-Talibin 91/1).

Disebutkan dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 – 11 Februari 2015 membincangkan Hukum Minyak Ikan Yang Diproses Tanpa Dibuang Perut Atau Najisnya. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

- Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa kandungan isi perut ikan adalah antara hukum yang tidak disebut secara jelas mengenainya sama ada dalam al-Quran ataupun Sunah Rasulullah SAW, Ibn Hajar, Ziyad, al-Ramli dan lain-lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang ada dalam perut ikan yang kecil sama ada darah atau najis adalah suci dan boleh dimakan serta tidak dianggap najis, bahkan al-Ramli berpendapat, hukum tersebut berlaku juga kepada ikan yang besar.

- Sekiranya ia dihukum bersih, syarak menetapkan hukum memakannya bergantung pula pada pandangan pakar perubatan yang dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya mudarat maka tidak boleh dimakan kerana memberi kesan pada kesihatan, begitulah sebaliknya.

- Sehubungan itu, berdasarkan masyaqqah yang perlu dihadapi untuk memproses ikan dalam kuantiti yang banyak sehingga terlalu sukar untuk dibuang kandungan isi perut ikan satu persatu, dan realiti semasa industri komersil pemprosesan minyak ikan pada masa ini yang perlu mematuhi standard dan piawaian yang ketat bagi memastikan ianya bersih dan selamat digunakan, serta dengan mengambilkira kepentingan, manfaat dan kegunaan minyak ikan kepada kesihatan manusia, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa minyak ikan yang diproses secara komersial dalam kuantiti yang melibatkan beribu-ribu tan ikan tanpa dibuang perut atau najisnya adalah suci dan halal dimakan. 

No comments:

Post a Comment