Wednesday 4 March 2020

MITOS GUNUNG SANTUBONG DUA PUTERI DISUMPAH

Gunung Santubong merupakan sebuah daripada gunung legenda yang terkenal di Sarawak. Ia terletak 35 km di utara bandar Kuching. Setinggi sekitar 810 meter, puncaknya boleh dilihat dengan jelas dari Kuching. Gunung ini terletak di sebuah semenanjung kecil yang dinamakan semenanjung Buntal yang popular kerana aktiviti-aktiviti pelancongannya.

Mengikut sejarahnya, pada abad ke-14 Masihi pusat komersial pentadbiran negeri Sarawak ialah Santubong di mana Kuala Santubong menjadi pusat kunjungan para saudagar dari Timur dan Barat untuk berniaga. Penemuan pelbagai artifak di kawasan sekitarnya menguatkan lagi dakwaan bahawa terdapat kesan langsung perdagangan di Santubong kepada penyebaran Islam dan Hindu di Sarawak.

Berdasarkan mitos masyarakat setempat, Gunung Santubong berasal daripada jasad puteri kayangan yang bernama Puteri Santubong selepas disumpah menjadi gunung.

Menurut mitos, Puteri Santubong dan saudara kandungnya, Puteri Sejinjang diperintah oleh ayahanda mereka, Dewata Mulia untuk turun ke Bumi bagi membantu menyelesaikan konflik antara penduduk Kampung Pasir Putih dan Kampung Pasir Kuning.

Sebelum turun ke Bumi, mereka bersumpah untuk tidak bertelingkah sesama sendiri ketika berusaha mendamaikan penduduk kedua-dua kampung berkenaan. Usaha mereka akhirnya berjaya. Kedua-dua kampung itu berdamai dan bekerjasama dalam kegiatan perdagangan dengan beberapa buah negeri asing.

Sejak itu, ramai putera raja dari beberapa buah negeri berusaha melamar hati kedua-dua puteri kayangan tersebut. Namun, semua lamaran tersebut ditolak. Bagaimanapun, kedua-dua puteri kayangan berkenaan jatuh cinta terhadap seorang putera raja dan akhirnya bergaduh sesama sendiri.

Akibat pertelingkahan yang melanggar sumpah itu, Puteri Santubong serta Puteri Sejinjang telah disumpah oleh ayahanda mereka dan bertukar menjadi gunung.

No comments:

Post a Comment