Tuesday, 4 June 2024

CARA PENJAGAAN IKAN KELAH

 
Ikan kelah amat suka persekitaran kolam seperti mana habitat semula jadinya. Ikan kelah adalah jenis ikan yang mudah dan tidak banyak masalah berbanding ikan lain. Sama ada untuk hiasan mahupun komersil, para penggemar dan peminat kelah sudah pasti ingin tahu tip untuk menternak ikan kelah.
 
Ikan kelah suka memakan tumbuhan air seperti rumpai, buah-buahan kecil, daun-daun pinggiran sungai dan lumut. Sifat ikan kelah amat gemar dengan persekitaran berbatu dengan aliran air yang laju (seperti air terjun atau jeram). Anak-anak ikan gemar berenang di tepi atau celah-celah batu tersebut.
 
Sistem kolam yang baik mampu menjaga kualiti air supaya senantiasa bersih dan kelihatan jernih. Sistem terbaik yang sering dicadangkan ialah kaedah ekobio iaitu menggunakan sumber asli yang lebih murah dan mudah diselenggara. Sebagai contoh pokok keladi bunting, pasir sungai dan batuan.
 
Ikan kelah yang dipelihara bagi tujuan komersial atau hobi lazimnya diberi makan udang halus, ulat atau pallet. Di pasaran terdapat banyak jenis pallet yang mengandungi pelbagai jenis dan warna . Lazimnya perbezaan pallet hanyalah pada kandungan proteinnya.
 
Pallet adalah makanan terbaik untuk ikan kelah sebab kandungan vitamin dan mineralnya yang seimbang dan dirumus khas untuk tumbesaran ikan. Untuk anak benih biasanya dicadangkan pilihan pallet yang sesuai adalah yang mengandungi kandungan protein melebihi 40 peratus.
 
Selain itu ikan kelah boleh diberi makanan sampingan lain yang amat digemari kelah seperti buah kelapa sawit apatah lagi yang dibakar. Pastikan biji kelapa sawit disulam pada dawai sebelum dicampak ke dalam kolam supaya mudah dikeluarkan sisanya kelak.
 
Namun ia akan menyebabkan air kolam menjadi berminyak dan ini amat tidak sesuai untuk kehidupan ikan dalam kolam bersaiz kecil, apatah lagi akuarium.
 
Bagi ikan kelah yang diternak dalam sangkar sungai, anda boleh campakkan saja setandan buah kelapa sawit matang ke dalam sangkar. Air yang senantiasa mengalir di kolam sangkar ini tidak akan memudaratkan kehidupan ikan kelah di dalam sangkar.
 
Ikan kelah juga amat suka makan tumbuhan yang terapung terutama sekali keladi bunting. Tetapi tidak semua tumbuhan terapung disukai ikan kelah. Tumbuhan kangkung juga digemari dan beberapa jenis bunga.
 
Kebolehan mengesan makanan kegemaran ikan kelah akan menjadikan ikan kelah kita cepat besar dan kita juga akan berasa lebih seronok dan puas hati melihat ikan membesar dengan baik.
 
Kredit – Dunia Akuarium Malaysia

No comments:

Post a Comment