Wednesday, 29 January 2020

KELIRU HALA TUJU MENCARI ILMU


Semakin rancak pembangunan yang dirancang, namun semakin rancak juga keruntuhan nilai kemanusiaan yang berlaku. Namakan saja jenis keruntuhan tersebut, semuanya ada dalam masyarakat kita.

Bermula dari bangku sekolah membawa kepada institusi keluarga yang kucar-kacir, hinggalah kepada pudarnya akhlak yang mulia, runtuhnya pemikiran yang sihat, cetek dan dangkalnya ilmu, sehingga kepada parahnya amalan masyarakat seperti rasuah, dan kotornya amalan politik.

Antara sebab yang membawa kepada keadaan ini ialah kekeliruan terhadap ilmu itu sendiri. Ini bukan kerana manusia tidak mempunyai ilmu tetapi kerana manusia memiliki ilmu yang tidak tepat dan salah. Kini ilmu yang dipelajari hanya kerana ilmu, iaitu menuntut ilmu hanya untuk memenuhi keghairahan kegunaan duniawi yang didorong oleh runtunan nafsu.

Tujuan dan konsep ilmu yang sebeginilah yang telah melahirkan ramai ilmuwan yang lupakan Allah tetapi sangat ghairah dan bernafsu untuk menguasai dunia dan alam ini demi memenuhi segala keinginan nafsu.

Maka dengan itu, sekalipun kemajuan ilmu pengetahuan masa kini benar-benar hebat dan mempesonakan, namun sebenarnya ilmu itu tidak membangunkan manusia sebagai manusia yang sebenar sebagai mana yang diinginkan oleh Islam.

Ilmu yang dibangunkan kini lebih banyak melahirkan manusia yang sangat cepat lupakan Allah tetapi pada masa yang sama sangat cepat terpesona dengan keindahan dunia. Maka dengan itu lahirlah ilmuwan yang sering dalam keraguan terhadap Tuhannya, sering dalam dilema dan bimbang tentang masa depan dunianya, dan sentiasa sibuk mencari harta dan habuan dunia.

Perkembangan pengisian ilmu masa kini juga telah memperlihatkan kepada kita bahawa tujuan dan konsepnya yang salah dan kabur telah melahirkan ramai manusia yang juga kabur tentang tujuan dan konsep hidupnya.

Pengisian ilmu yang bertujuan mencari kemegahan telah menjadikan manusia sekarang mempunyai sifat-sifat keduniaannya yang sangat menonjol. Manusia sekarang penuh dengan sifat sombong dan bangga diri, kedekut dan tamak kepada harta dunia, suka angan-angan, penuh dengan hasad dengki, suka kepada pujian dan kemegahan dunia, khianat kepada amanah, selalu meninggalkan apa yang disuruh Allah, melupakan Allah, memandang rendah sesama manusia dan tidak ambil peduli sebarang permasalahan yang menimpa saudara-saudara yang seagamanya dengannya.

No comments:

Post a Comment