Sepanjang
bulan Ramdan, siaran televisyen dan radio tidak ketinggalan menyiarkan waktu
berbuka puasa dan imsak. Apa maksud waktu imsak? Ada pendapat mengatakan selepas
waktu imsak kita tidak boleh lagi makan atau minum? Betulkah begitu?
Sebenarnya
waktu imsak bukan waktu permulaan berpuasa. Waktu
permulaan berpuasa atau ditegah melakukan perkara membatalkan puasa bemula
apabila terbit fajar atau bermula waktu sembahyang subuh.
Dengan
kata lain, sesiapa masih makan dan minum selepas waktu imsak dikira tidak batal
puasanya, melainkan dia terus makan apabila terbit fajar atau masuk waktu
sembahyang subuh.
Waktu
imsak dianggap sebagai lampu isyarat kuning, yang mana lebih elok kita
berhenti. Bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan jika masih meneruskan
perjalanan selagi lampu merah menyala.
Waktu
imsak tidak dijelaskan oleh Rasulullah SAW mengenainya. Bagaimanapun terdapat
hadis (berdasarkan perbuatan) sahih menceritakan perkara itu.
Baginda dikatakan mulai imsak sebelum subuh. Ini untuk bercermat
dalam soal ibadat. Baginda mulakan imsak sebelum azan subuh dalam tempoh lebih
kurang bacaan al-Quran sebanyak 50 ayat.
Jadi
ulama kita hari ini merangka jalan untuk menyenangkan orang ramai dengan
mengira bacaan Rasulullah 50 ayat itu selama lebih kurang 10 minit sebelum
subuh. Ia sebagai persediaan awal untuk berpuasa dan mengelak perasaan
ragu-ragu mengenai waktu terbit fajar. Sebab itulah ulama menetapkan masa imsak
lebih kurang 10 minit sebelum azan.
Ada
pihak mempertikaikan mengenai penantuan waktu imsak yang dianggap mengelirukan
umat Islam mengenai waktu mula berpuasa. Perkara ini tidak jadi keliru jika
kita belajar mengenainya.
Penetapan
waktu imsak boleh dikiran sebagai uruf atau kebiasaan yang
diamalkan sesuai dengan amalan Rasulullah
SAW.
Rasulullah SAW berhenti makan dan sebagainya sebelum azan
subuh dan masa antara keduanya itu baginda sempat membaca al-Quran lebih kurang
50 ayat.
Jadi
eloklah kita melakukan imsak dalam masa 10 minit sebelum subuh, barulah
semuanya dapat dilakukan dengan sempurna dan selesa iaitu ada masa membersih
mulut, gigi, dan membersih pinggan mangkuk.
Apabila muazin sudah mengalunkan azan sedangkan makanan masih penuh dalam
mulut, tentu keadaan kelam kabut dan ini boleh membatalkan puasa tersebut.
Untuk mengelak daripada terlajak, adalah lebih baik kita berhenti makan sahur semasa
waktu imsak.
Mazhab Shafie dan
mazhab jumhur tidaklah mewajibkan imsak sebelum terbit fajar ini, hanya kita
memandang sunat dan afdhal untuk berhenti sahur kira-kira 10 – 15 minit sebelum
terbit fajar.
No comments:
Post a Comment