Wednesday 20 December 2017

ALASAN MENGAPA PERLU BERHENTI MEROKOK

Alasan mengapa anda perlu berhenti merokok.

1. Gangguan emosi. Perokok mengalami gangguan emosi setiap kali tidak dapat merokok dalam tempoh masa yang agak panjang. Mereka berada dalam keadaan gelisah dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada tugas selagi tidak dapat merokok. 

Islam menganjurkan agar kita menjaga kesihatan minda. Merosakkan emosi samalah menolak nikmat akal yang dikurniakan Allah.

2. Mewariskan sikap buruk kepada ahli keluarga. Keluarga yang terdapat ahli keluarganya merokok mudah mewariskan tabiat buruk itu kepada ahli keluarga lain.

Permulaan didikan anak adalah contoh daripada ibu bapa. Sekiranya bapa atau ibu merokok, kemungkinan besar anak juga akan turut merokok. Perbuatan itu samalah mengajar agar anak turut melakukannya.  Sebaliknya, bapa atau ibu yang tidak merokok akan melahirkan keluarga yang tidak merokok.   

3. Sikap pentingkan diri. Didapati perokok adalah golongan yang mementingkan diri sendiri. Perokok tidak kisah pendangan orang terhadap perbuatan itu. Apa yang penting mereka dapat terus merokok.

Perokok lebih pentingkan membeli rokok daripada membeli keperluan keluarga. Banyak keluarga miskin tidak mendapat apa yang sepatutnya disebabkan lebih pentingkan membeli rokok.

4. Permulaan menghampiri dadah. Majoriti mereka yang terjebak dadah pada peringkat awalnya terlebih dahulu adalah penagih rokok. Perokok yang telah mati hatinya mudah melakukan perbuatan yang dianggap lebih mencabar.

5. Lambang keruntuhan akhlak. Perokok sentiasa dipandang negatif. Perokok di kalangan remaja menjadi lambang kerutuhan akhlak. 

Masyarakat Barat yang memperkenalkan industri rokok kini telah menolak amalan yang dahulu menjadi kegilaan ramai. Di Barat, perbuatan merokok kini dianggap perbuatan hina dan keji. Kempen anti merokok diadakan secara besar-besaran di negara Barat untuk memastikan rakyat mereka bebas dari rokok. 

No comments:

Post a Comment