Thursday 21 November 2019

MERIAH HIKING BUKIT PANAU

Hiking biasanya dikaitkan dengan berjalan di kawasan bukit dan hutan. Maka gambaran semasa hiking tentulah sunyi atau tidak bertemu dengan orang ramai.

Namun, suasana itu tidak berlaku jika hiking atau mendaki Bukit Panau. Hiking di Bukit Panau 'meriah' dengan kehadiran orang ramai. Pendaki tidak akan sunyi atau berasa keseorangan sepanjang hiking.

Bukit Panau semakin dikenali sebagai lokasi pendakian santai. Dengan ketinggian 255 meter dari aras laut, mendakit Bukit Panau tidak terlalu sukar. Lebih-lebih lagi pendakian dilakukan melalui jalan yang disediakan sehingga ke puncak.

Pendakian ke puncak Bukit Panau mengambil masa antara 30 minit sehingga sejam mengikut kelajuan dan kemampuan fizikal pendaki.

Pemandangan dari puncak Bukit Panau amat menarik dengan berlatar belakang perkampungan sekitar Pasir Mas dan Tanah Merah, serta Kota Bharu dan mampu sampai ke Bachok dan Machang.

Paling menarik ialah pemandangan Sungai Kelantan yang mengalir dari selatan ke utara, selari dengan Jalan Pasir Mas -  Tanah Merah.

Mereka yang ingin mendaki Bukit Panau dinasihatkan bermula awal pagi kerana untuk mengelak panas matahari. Di puncak Bukit Panau dianggap bukit botak.

Sedikit sahaja kawasan yang ada lindungan teduh pokok. Sebab itu, berada di puncak Bukit Panau membolehkan pengunjung melihat sekeliling dengan mudah tanpa terlindung penglihatan.

Jika bernasib baik, anda akan berpeluang menikmati pemandangan karpet awan di atas puncak Bukit Panau. Sungguh menarik pemandangannya dengan disinari cahaya matahari yang sedang naik dari ufuk timur.

Pada awal 2019, mereka yang melakukan hiking di Bukit Bakau tidak begitu ramai. Bagaimanapun, setelah tular di media sosial mengenai kecantikan dan keseronakan mendaki Bukit Panau, semakin ramai yang berminat untuk mendakinya. Setiap minggu bilangan pendaki semakin bertambah.

Bukit Panau terletak di antara Pasir Mas dan Tanah Merah. Kedudukan Bukit Panau berhampiran jalan utama memudahkan ia dilihat dan dikunjungi. Apatah lagi ia bukit tunggal di kawasan itu. 

Memandangkan ramai yang datang hiking di Bukit Panau, kini terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menjual minuman dan makanan. Suasana di kaki bukit atau tempat permulaan hiking dan meletak kenderaan kelihatan meriah.

No comments:

Post a Comment