Monday 15 June 2020

MANUSIA JENIS APAKAH INI?

Berbudi bahasa bererti percakapan yang baik, elok dalam tutur kata, tinggi budi bicara, beradab, bersopan santun, bertatatertib, lemah-lembut, hormat, tingkah laku yang baik dan akhlak yang mulia.

Selain itu, berbudi bahasa juga bererti berbudi melalui bahasa atau bahasa sebagai budi. Ini kerana skop budi itu amat luas. Ia termasuk berbudi dengan harta, tenaga, buah fikiran, nasihat, tunjuk ajar, sikap dan menggunakan bahasa yang baik dan menyenangkan pendengar.

Oleh sebab skop budi itu terlalu luas, maka semua orang boleh berbudi kepada masyarakat mengikut kemampuan masing-masing. Jika tidak mempunyai wang dan harta, seseorang itu boleh berbudi dengan tenaga.

Jika tidak berkemampuan juga, ia boleh berbudi dengan menyumbang buah fikiran, nasihat dan tunjuk ajar. Jika tidak berkemampuan juga, ia boleh berbudi dengan bahasa yang halus dan baik. Sebab itulah bahasa juga dikira sebagai sebahagian daripada budi pekerti yang mulia atau akhlak yang terpuji.

Amat malang jika kita tidak mampu berbuat budi langsung. Lebih-lebih malang lagi, sudahlah tidak berbudi, kita pula melakukan onar dan malapetaka kepada orang lain, agama, bangsa dan alam.

Lihatlah apa berlaku di seliling kita ini. Dunia teknologi maklumat disalahgunakan. Fitnah, adu domba dan dusta tersebar dengan mudah tanpa sempadan. Kerosakan yang berlaku juga tidak terjangkau sempadannya.

Sifat kasih sayang yang dipupuk melalui bahasa sudah dilacurkan. Mereka suka menggunakan bahasa kesat dan caci maki. Jari jemari ligat di atas papan kekunci untuk mencipta perkataan yang lebih busuk dari bau mayat kerana memang niat mereka ingin mencipta kerosakan terhadap manusia lain.

Ingatlah, nilai budi bahasa ini menjadi ukuran utama kemuliaan tingkah laku antara seseorang manusia dengan seseorang manusia yang lain dalam mencapai keharmonian perhubungan manusia sejagat.

Perhubungan antara manusia akan menjamin keharmonian dan kesedaran dalam masyarakat dari segi memperkasakan peradaban yang tinggi dan mulia ini. Jika kita tidak menjaga hubungan sesama manusia dengan baik, itu juga kita tidak menjaga hubungan dengan Allah. 

Manusia jenis apakah ini?

No comments:

Post a Comment