Sunday 22 November 2020

BERGABUNG BIAR MEMBAWA UNTUNG


Pemimpin dan ahli parti perlu berpegang pada prinsip taat setia dalam memperjuangkan kepentingan parti. Mereka perlu konsisten dalam menjaga parti untuk generasi akan datang memandangkan pemimpin 'boleh datang dan pergi' namun perjuangan dan istiqamah terhadap parti kekal.

Menyifatkan tindakan menegur atau memberi pandangan terhadap pemimpin bukanlah satu masalah tetapi ia tidak boleh dibuat di luar batas perlembagaan dan tatasusila parti.

Kita tidak boleh buat sesuatu yang di luar perlembagaan dan tatasusila parti sebab apa yang kita buat di luar parti akan merosakkan parti.

Tapi, perlu diingatkan kalau parti masih kekal, perjuangan boleh diteruskan kerana pemimpin boleh datang dan pergi, tak jadi masalah tetapi parti kita mesti dipertahankan.

Justeru, setiap pemimpin yang masih memegang jawatan dalam parti atau telah melepaskan jawatan haruslah menjaga parti dengan mengamalkan istiqamah.

Ahli akar umbi hanya hormat orang yang ada prinsip meskipun hanya tinggal sehelai sepinggang tetapi mempunyai maruah diri dan masih tetap konsisten pada perjuangan untuk orang Melayu.

Ahli parti perlu jaga kepentingan parti untuk generasi akan datang. Sejarah akan hukum sekiranya kita tidak jaga kepentingan orang Melayu. Ini adalah wajib sumpah setia kita.

Sumpah setia pada parti adalah selama-lamanya dan bukan setakat waktu memegang jawatan atau waktu-waktu tertentu sahaja disebabkan perjuangan tidak mengenal masa atau umur.

Perjuangan perlu diteruskan kerana matlamat yang ingin dihajati belum menjadi kenyataan. Adalah wajib untuk ahli menjaga perjuangan parti dan sumpah setia yang diikrarkan, tanpa mengira apa jua jawatan yang dipegang, sama ada presiden parti atau tidak memegang jawatan atau bersara.

Sebagai manusia tentunya seseorang itu mempunyai perasaan termasuklah perasaan sedih, gembira, kecewa dan terkilan. Namun, yang penting ialah sebagai seorang ahli parti kita mempunyai prinsip perjuangan yang perlu dipegang. Soal perasaan satu perkara manakala soal prinsip pejuangan adalah satu perkara yang lain perlu mengatasi perasaan sendiri.

Apabila parti membuat keputusan maka semua pihak perlu menerimanya.

Perpaduan di dalam parti adalah lebih penting berbanding usaha untuk bergabung dengan parti lain. Bergabung itu baik, tetapi apa erti jika prinip perjuangan parti dikorbankan.

Jika prinsip perjuangan parti telah hilang dalam diri, baik tinggalkan parti. Sertai parti lain yang sesuai dengan naluri atau untuk apa tujuan yang dihajati.

Tidak ada gunanya bergabung di dalam kerangka besar, tetapi jiwa dan hati kosong. Nampak gah dan hebat, tetapi pemimpin dan ahli dibuli. Hak dan perinsip parti tidak mampu dipertahankan.

Bergabung dan bersama itu baik. Tetapi jangan jadi seperti nasib pokok yang membenarkan dedalu menumpang di atasnya. Dedalu semakin besar dengan menghisap zat pokok yang ditumpangnya. Pokok besar boleh mati dan  tumbang disebabkan adanya dedalu.

Apa erti bergabung, sedangkan sebahagian pemimpin sahaja yang untung. Ahli akar umbi terus tertanya-tanya apakah perjuangan yang dilakukan oleh pemimpin parti.

Parti perlu bergabung jika itu memberi keuntungan kepada pemimpin dan ahli sendiri. Apa erti bergabung jika yang untungnya adalah parti lain yang berlagak kuat dan berhasrat untuk menghancurkan parti kita.

Jangan jadi keliru dengan seruan dan ajakan untuk bergabung dan berkerjasama jika telah jelas telunjuk lurus kelingking berkait. Bergabung mesti dipaksikan kepada keikhlasan dan penerimaan, bukannya ego dan membuli.  

 

No comments:

Post a Comment