Monday 1 February 2021

KESEMPURNAAN IMAN BUKAN DITENTUKAN PARTI POLITIK

Islam ditentukan melalui akidah mempercayai kekuasaan Allah dan mengakui mengakui bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah. Manakala kesempurnaan keislaman apabila melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah.

Jadi, keislaman tidak ditentukan melalui parti politik atau menyertai mana-mana pertubuhan. Islam itu sendiri telah disediakan sebagai wadah kepada umat Islam untuk melakukan apa sahaja yang dikaitkan dengan Islam.

Jika keislaman ditentukan dengan parti politik, bagaimana nasib orang yang ditolak dan dibuang daripada parti politik Islam? Apakah keislaman ditentukan oleh pemimpin politik? Apakah orang yang tidak menyertai parti Islam bermakna dia tidak Islam? 

Sesungguhnya, Islam memperjuangakan kepentingan sejagat. Islam tidak memperjuangan kepentingan kelompok. Islam adalah universal dan hukum yang ditetapkan dalam Islam tidak sekali-kali dapat diubah atau ditukar-tukar mengikut selera kelompok tertentu sahaja. Seluruh umat Islam menggunakan sumber hukum yang sama iaitu dari al-Quran, hadis dan keputusan bersama para ulama.  

Apa yang ditekankan oleh Rasulullah SAW ialah pemerintahan dalam masyarakat dan negara. Banyak hal kenegaraan dijelaskan untuk membentuk keamanan, kemajuan dan keadilan dalam pemerintahan. 

Sesiapa yang mengikuti kaedah pemerintahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sudah layak dipanggil pemerintah Islam biarpun parti atau negara yang dipimpin itu tidak menggunakan nama 'Islam'.

Tugas pemerintah lebih penting ialah mewujudkan persekitaran yang selamat, aman, kesejahteraan, harmoni, adil, peluang pekerjaan, kemudahan awan dan pendidikan.

Pemerintah boleh melaksanakan dasar-dasar Islam tanpa pengiystiharan negara Islam. Sempurnanya Islam bukan atas gelaran atau nama, tetapi berdasarkan apa yang dilakukan dengan niat mematuhi perintah agama dengan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah.

Gelaran dan kuasa pemerintah tidak hanya apabila memerintah negara. Kumpulan atau individu memerintah negeri, daerah maupun kampung adalah pemerintah. Mereka mempunyai kuasa dan tanggungjawab berdasarkan kepada bidang tugas masing-masing. Sebab itu, laksanakan tugas mengikut kuasa dan tanggungjawab tersebut. 

Sesiapa meminta ingin melakukan tugas lebih banyak, sedangkan apa yang diamanahkan belum lagi diselesaikan, samalah dia seperti diceritakan dalam Israk Mikraj yang mengutip lebih banyak kayu untuk dibawa, sedangkan kayu yang ada padanya sudah tidak mampu lagi ditanggung.  

Untuk melakukan kebaikan tidak hanya apabila dikaitkan dengan parti politik Islam. Nama bukan penentu segala-galanya. Bahkan jika kita menggunakan perkataan Islam atas tujuan memperdayakan orang ramai, perbuatan itu amat ditegah. Perbuatan itu disamakan seperti menjual atau melacurkan agama. 

Rasulullah SAW tidak menyebut mengenai penubuhan parti politik Islam. Perkara ini tidak pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW. Justeru, Rasulullah SAW bukanlah pemimpin parti politik Islam. Baginda pemimpin bagi seluruh umat Islam sepanjang zaman.

Gambar: FB Ebit Lew - sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment