Thursday 4 March 2021

MENGAPA PARLIMEN PERLU BERSIDANG SEGERA

Tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu termaktub dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahu pun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip berkenaan.

Justeru, apa lagi alasan untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

Amat perlu sidang Parlimen diadakan segera agar dapat membincangkan perkara berkaitan pentadbiran negara, termasuk keberkesanan langkah membendung penularan wabak Covid-19, demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Banyak perkara perlu dibincangkan meliputi kKeberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021, demi memastikan kelangsungan hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40), serta keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan urusan pentadbiran negara amnnya.

Prinsip Keluhuran Perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar, dalam memastikan semak dan imbang kepada pihak eksekutif yang menjalankan urus tadbir negara.

No comments:

Post a Comment