Thursday 24 June 2021

CARA JERUK BUAH SENTUL

Buah sentul atau juga dikenali buah kecapi semakin tidak dikenali. Dahulu buah sentul mudah ditemui di kawasan kampung. Pokok sentul dianggap pokok hutan yang mudah tumbuh dan tahan lasak. 
 
Sentul banyak digunakan sebagai nama tempat. Paling terkenal Sentul di Kuala Lumpur.  

Buah sentul enak dimakan. Buahnya berbentuk bebola, berdiameter 5–7 cm, berwarna kuning keemas-emasan dan berbulu lembut. Kulit buahnya tebal dan agak liat. 
 
Isi buah sentul berulas-ulas, lembut dan berwarna putih seakan-akan isi buah manggis. Rasanya masam-masam manis dan tidak mudah lekang daripada bijinya.

Selain dimakan segar, buah sentul juga dibuat acar dan jeruk. Kulit buahnya juga boleh dimakan mentah atau dimasak sebagai sayur lemak dan dijadikan lauk.

Sentul mempunyai banyak khasiat perubatan tradisional. Buah sentul mengandungi vitamin B, C, kalium dan fosforus. Air rebusan akarnya diminum untuk merawat cirit-birit, bengkak usus, kekejangan dan melegakan kembung dan sakit perut. Akar dan kulit kayunya juga digunakan dalam merawat ibu-ibu selepas bersalin.

Daun pokok sentul pula diletakkan pada kulit untuk merangsang peluh dan merawat gatal-gatal kulit. Air rebusan daunnya juga digunakan dalam mandian bagi meredakan demam panas. 

Kulit batang sentul pula biasa dibuat serbuk untuk merawat penyakit kurap. Selain itu, kayu pokok sentul turut digunakan dalam pertukangan, pembinaan ringan dan pembuatan perkakas rumah.

CARA JERUK BUAH SENTUL

Bahan-bahan (sesuaikan mengikut selera):
- Buah Sentul.
- Garam
- Gula
- Air
- Cili kering yang dimesin

Cara cara:
- Kupas kulit buah sentul
- Tetak bahagian isi agar seperti luka atau belah dua.
- Cuci dan toskan.
- Rendam dalam air garam hingga buah tenggelam selama 1 malam.
- Toskan hingga kering.
- Masak air, gula dan cili mesin hingga mendidih, kemudian sejukkan.
- Masukkan buah yang telah ditoskan tadi dan rendam 1 malam lagi.
- Boleh dinikmati.

No comments:

Post a Comment