Friday 8 December 2023

TANGANI MASALAH DI JALAN RAYA DENGAN WARAS

 
Bertindak ganas ketika berada di jalan raya bukan sahaja melanggar undang-undang, malah salah di sisi mana-mana agama yang menuntut penganutnya supaya memiliki nilai moral tinggi dan berfikiran positif.
 
Berpandukan nilai kemanusiaan, jika seseorang dapat berfikir secara rasional, sebarang tindakan ganas, amuk mahupun kejadian buli jalan raya pastinya dapat dihindari daripada berlaku.
 
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata walau apa pun agama dianuti dan nilai moral yang dipegang, kewajaran berfikir sebelum bertindak di luar kawalan perlu diutamakan demi kesejahteraan sejagat.
 
Malah, beliau menasihatkan semua pihak supaya mengambil iktibar terhadap kes membabitkan bekas pekerja teknologi maklumat (IT), Yew Wei Liang, yang disabitkan bersalah kerana menyebabkan kematian seorang pemandu di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), pada 2019.
 
Katanya, setiap tindakan perlu seiring dengan perasaan tanggungjawab dan berdasarkan disiplin kendiri yang kuat bagi memastikan tiada mana-mana pihak terjejas akibat emosi tidak stabil, terutama ketika berada di jalan raya.
 
"Kes ini perlu menjadi pengajaran kepada semua pemandu dan pengguna jalan raya. Jika sesuatu keganasan tidak ditangani sebaiknya, ia akan mengakibatkan pergaduhan dan kejadian sehingga menyebabkan kematian.
 
"Kejadian seperti ini kerap kali berlaku di negara kita dan saya perhatikan ramai pemandu tak boleh kawal emosi apabila berlaku sesuatu masalah, misalnya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas mahupun pembuli jalan raya.
 
"Pemikiran waras cukup penting dalam pertimbangan sesuatu tindakan. Saya khuatir kesan buruk akan melanda, jika kita biarkan diri dipengaruhi emosi dan ia boleh menyebabkan atau mencetuskan musibah," katanya.
 
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun ke atas Wei Liang, kerana menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, di Lebuh Raya PLUS, pada 10 Ogos 2019.
 
Pada 22 Ogos 2019, Wei Liang, 45, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atas pertuduhan membunuh Syed Muhammad Danial yang disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre pada hari kejadian.
 
Insiden membabitkan tertuduh dengan mangsa itu tular dalam media sosial, dan dikatakan berpunca daripada kemalangan kecil selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan.
 
Sementara itu, Lam Thye turut menekankan kepentingan kesihatan mental dan depresi dalam kalangan rakyat negara ini, selain meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menitikberatkan soal berkenaan.
 
Beliau berkata, KKM dan pihak majikan perlu menjalin sinergi, termasuk mengadakan sesi kaunseling dan pelbagai inisiatif program menggunakan komunikasi dua hala supaya individu mengalami masalah berkenaan mampu meluahkan perasaan atau tekanan dialami mereka.
 
Keadaan itu, katanya, akan memberi masalah kepada masa hadapan negara, sekiranya tidak diselesaikan dengan tuntas.
 
"Pihak majikan juga boleh bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan untuk menganjurkan sesi seperti ceramah oleh kaunselor untuk pekerja mereka. Ia perlu mengupas kaedah mengawal emosi, terutama ketika berada di jalan raya.
 
"Ini boleh dijadikan sebagai tanggungjawab sosial korporat di semua syarikat bagi mengurangkan tekanan dan stres dihadapi pekerja masing-masing. Kita perlu elak kesan daripada apa-apa keganasan kerana tindakan sedemikian hanya membawa kesan serius kepada semua pihak," katanya.

No comments:

Post a Comment