
Dalam konteks negara, kemerdekaan adalah bebas daripada kuasa penjajahan. Negara merdeka diperintah dan ditadbir sendiri oleh rakyat negara itu. Kemerdekaan adalah harta paling mahal bagi sebuah negara dan rakyatnya.
Kemerdekaan
mengikut takrif Islam pula ialah kebebasan melakukan apa yang disuruh dan
menjauhkan apa yang dilarang. Setiap individu berhak melakukan apa yang
mendatangkan kebaikan kepadanya. Kebebasan itu tidak pula mendatangkan
keburukan kepada diri sendiri, individu dan pihak lain.
Islam
melihat erti kemerdekaan meliputi soal kenegaraan dan individu. Negara yang
merdeka, tetapi rakyatnya terbelenggu dengan pelbagai masalah, dikuasai
pemikiran dan cara hidup, sebenarnya masih belum merdeka. Begitu juga, jika
rakyat bebas melakukan apa untuk dirinya, tetapi negara masih dijajah, maka
tidak bererti sepenuhnya.
Islam
mengamalkan dasar merdeka, kerana tidak ada individu atau pihak yang perlu
tunduk kepada telunjuk individu atau pihak lain, melainkan hanya kepada Allah
semata-mata.
Hubungan
sesama manusia hanyalah dengan maksud saling membantu, saling mendapat manfaat
dan melaksanakan hak bagi individu atau pihak yang terlibat. Tiada individu
atau pihak lain boleh bertindak sebagai penguasa atau penjajah terhadap yang
lain.
Hakikatnya,
semua manusia adalah hamba kepada-Nya. Manusia diberi hak kemerdekaaan dalam
urusan kehidupan, yang mempunyai kaitan dengan konteks takwa. Dengan kata lain,
kebebasan manusia adalah kebebasan bersyarat.
Islam
melarang sebarang bentuk tindakan penganiayaan, keganasan, penguasaan tidak
pada hak, penghambaan, fahaman taksub dan mempercayai perkara yang karut
marut.
Erti
dan nilai kemerdekaan yang dibawa oleh Islam dapat dilihat dengan ketara dalam
masyarakat Arab Jahiliyah setelah ketibaan Islam. Masyarakat Arab yang
bergelumbang dengan norma kehidupan ‘binatang’ telah bertukar kepada nilai
insan yang luhur dan merdeka daripada kebatilan hasil kemerdekaan hidup yang
dibawa dalam ajaran Islam.
Nur
Islam menerangi manusia ke jalan kemerdekaan yang sesuai dengan fitrah manusia.
Manusia ingin hidup bebas, tetapi kebebasan itu sering merosakkan kehidupan
manusia. Justeru, ajaran Islam memberi panduan erti kemerdekaan yang seharusnya
diikuti untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Islam
membawa kesempurnaan dan rahmat keseluruhan alam tanpa dilakukan secara
paksaan. Manusia bebas dan merdeka sepenuhnya untuk memilih cara hidup dalam
soal kepercayaan atau agama.
Tegasnya,
Islam tidak memaksa agar semua orang menerima ajarannya. Sesiapa yang mendapat
nur Islam, ia dilakukan dengan kerelaan sendiri. Tidak ada dalam sejarah
penyebaran Islam dilakukan secara paksa. Islam mempertahankan konsep
kemerdekaan yang memberi peluang setiap hamba-Nya menentukan kepercayaan di
dunia ini.
Ketika
Rasulullah membuka kota Makkah, seluruh penduduknya diberi pilihan untuk
menerima Islam atau terus kekal dalam agama asal. Bahkan, Rasulullah memberi
pengampunan dan membebaskan individu yang sebelum itu memusuhi dan melakukan
tindakan tidak perikemanudiaan terhadap baginda.
Islam
disebarkan dengan keyakinan tauhid berdasarkan kepada ia agama terbaik untuk
seluruh umat Islam. Kemanisan iman hanya dikecapi jika dilakukan dengan
kerelaan dan kesedaran.
Islam
mengamalkan kosep kemerdekaan secara menyeluruh terhadap penganut agama lain
dalam soal penerimaan agama Islam. Sungguhnya tiada paksaan dalam soal
beragama.
Hakikat
kemerdekaan yang diamalkan umat Islam dipandang amat tinggi, sempurna dan
bertepatan dengan naluri manusia. Keluasan ajaran Islam menjadi faktor mengapa
Islam mudah diterima di seluruh pelusok dunia.
Kemerdekaan
dalam Islam membawa amalan keterbukaan dan menghormati hak individu. Segala
urusan pemilikan dan kekuasaan dilakukan secara adil. Malangnya, semakin jauh
Islam dikembangkan, penghayatan terhadap kemerdekaan dalam Islam telah
diselewengkan. Umat Islam hanyut dalam kemerdekaan dikurniakan Allah.
Kebebasan
diberikan telah disalahgunakan sehingga terkeluar daripada ajaran Islam
sebenar. Sikap tamak dan ingin menguasai sesuatu dengan tanpa hak mula
menguasai gaya hidup umat Islam.
Kebebasan
membuat pilihan telah membawa perpecahan dalam umat Islam. Selepas kewafatan
Rasulullah, umat Islam mula berpecah dan bermusuhan sesama sendiri. Proses
peralihan kuasa dari seorang khalifah kepada khalifah lain mencetuskan
permusuhan.
Nabi
Muhammad tidak melantik atau mewasiatkan siapa harus menggantikan baginda
adalah tanda keterbukaan dan kebebasan memilih dalam soal kepeimpinan dan
hal-hal lain bersangkutan kepentingan umat Islam.
Kebebasan
sepatutnya menambah kekuatan kerana dapat membuat pilihan terbaik. Keterbukaan
dan kemerdekaan fikiran harus dijadikan teras kepada penghayatan ajaran Islam. Jangan
mengheret orang lain kepada pemikiran jumud, taksub dan ekstrem.
Setiap
orang bebas memberi cadangan dan melakukan apa yang terbaik. Ajaran Islam
memberi kebebasan bagi umatnya melakukan sesuatu bersesuaian dengan naluri,
selagi tidak bertentangan dengan batasan syariat.
Sifat
kesyumulan Islam untuk seluruh umat manusia. Islam memayungi seluruh umat
manusia sehingga ke hari kiamat. Sebab itu konsep kebebasan dan kemerdekaan
memberi ruang yang luas untuk manusia melakukan apa diperlukan. Setiap bangsa
dan manusia pada zaman berbeza memerlukan sesuatu yang berbeza.
Hal
ini jelas dalam membuktikan keluasan rahmat Allah. Manusia bebas melakukan
usaha untuk kebaikan. Islam menggalakkan setiap umatnya mencipta kejayaan dan
kecemerlangan berdasarkan kepada nilai kemerdekaan yang diberikan.
Sesungguhnya
apa yang manusia lakukan adalah untuk dirinya sendiri. Allah tidak mendapat
keuntungan atau kerugian atas apa yang dilakukan oleh hamba-Nya. Allah memberi
pembalasan bersesuaian dengan apa yang dilakukan oleh setiap orang.
Firman
Allah bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal salih, sama ada lelaki atau
perempuan, mereka akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiayai (atau
dikurangkan balasannya) sedikit pun.” (Surah an-Nisa, ayat 124).
Seseorang
akan mendapat kemerdekaan sebenar jika menghayati ajaran Islam. Islam memberi
panduan membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Sesiapa berpandukan kepada
ajaran Islam pasti tidak akan sesat di dunia dan bakal mendapat kejayaan di
akhirat.
No comments:
Post a Comment